Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menolak dakwaan bahawa polis mengamalkan 'double standard' berhubung siasatan di bawah Akta Hasutan.
Beliau berkata polis juga akan merakam kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamid.
"Bila terdapat kesalahan yang dilakukan, siasatan akan dijalankan, dan prosesnya adalah sama," katanya.
Menurutnya, sesiapa saja yang perlu direkod kenyataan mereka, akan panggil dan kenyataan mereka akan dirakamkan.
"Tidak kira sama ada dia seorang menteri, atau sesiapa saja, walaupun diri saya sendiri," kata Khalid selepas melawat I-City hari ini.
DAP Perak sebelum ini membuat laporan polis terhadap Zahid kerana didakwa membuat kenyataan berunsur hasutan dalam ucapannya berkaitan demonstrasi dekat Kuala Kangsar semasa krisis perlembagaan Perak, ketika kempen pilihan raya kecil DUN Pengkalan Kubor.