Kenaikan harga barangan daripada pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) bermula dari 1 April 2015 hanya bersifat "sementara" dan "sekali sahaja", kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan di Parlimen hari ini.
"Berdasarkan trend di lebih 160 negara yang telah melaksanakannya, peningkatan inflasi itu hanya one-off dan kemudian ia akan distabilkan," kata Ahmad.
Menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan membuat pengumuman tentang unjuran kadar inflasi yang akan dialami negara apabila GST dilaksanakan, melalui pembentangan Belanjawan 2015 pada hari Jumaat ini.
"Saya jangka ia akan diumum perdana menteri pada Jumaat ini tentang apakah peningkatan inflasi apabila GST dilaksanakan," katanya lagi.
Beliau berkata demikian sewaktu menjawab soalan bertulis MP Sipitang, Datuk Sapawi Ahmad Wasali tentang tahap penerimaan rakyat terhadap GST.
"Berdasarkan maklum balas yang diterima menerusi pelbagai platform, majoriti rakyat telah mula bertambah kefahaman tentang keperluan kerajaan melaksanakan GST dan sebahagian mereka sedar GST adalah perlu bagi mengukuhkan ekonomi dan pembangunan negara," katanya lagi.
Menurutnya lagi, GST akan tetap dilaksanakan kerajaan pada 1 April 2015.
"Pelaksanaan GST pada 2015 tidak akan dipinda kerana kerajaan telah membuat pelbagai persediaan," katanya lagi.