Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya menyelar penasihat DAP Lim Kit Siang atas kritikan ke atas tindakan pentadbiran Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia untuk menarik diri dari pencalonan kedudukan universiti Times Higher Education (THE).
Presiden PMUM, Fahmi Zainol berkata, tindakan kedua-dua universiti tersebut sepatutnya dipuji kerana institusi terbabit sejak sekian lama dirundung masalah kerana terlalu menumpukan soal kedudukan.
“Secara hakikatnya, kualiti pendidikan tidak bergantung kepada ranking semata-mata. Tetapi apa yang lebih penting nilai akademik yang subur dalam universiti dan diterjemah kepada masyarakat,” katanya.
Fahmi berkata, tumpuan untuk mencapai kriteria dalam sistem ranking tersebut menyebabkan pensyarah terpaksa menerbitkan jurnal dan memberi kesan kepada pembelajaran siswa.
“Pensyarah kain mula sibuk dengan menyiapkan tulisan dan penerbitan untuk menepati syarat paiwaian sehingga tidak ada masa untuk mendidik mahasiswa dengan lebih baik dan berkualiti.
“Keadaan ini menyebabkan nilai sebenar ilmu pudar disebabkan pensyarah tidak ada masa untuk mengajar,” kata Fahmi dalam kenyataannya.
Menurutnya lagi, universiti juga hanya menumpukan pada soal meraih dana dan berniaga ekoran tindakan kerajaan mengurangkan dana tersebut.
“Secara tidak langsung menjadikan Universiti hanya fokus untuk mencari dana dan berniaga yang akhirnya menyebabkan matlamat dan tujuan Universiti mula pupus.
“Universiti bertukar dari gedung ilmu kepada kilang yang mencari keuntungan,” katanya lagi.
Lim semalam menggesa Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengarahkan UM dan UKM agar tidak menarik dari penarafan THS bagi menunjukkan negara ini serius dalam soal meningkatkan mutu pendidikan.