Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Harga lembu naik kepada RM4,000 hingga RM5,000 seekor

Persatuan Ternak Terengganu (PTT) menjangka permintaan lembu tempatan untuk ibadah korban sempena Aidiladha di negeri ini tahun ini berkurangan berikutan harga ternakan itu yang tinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Pengerusi PTT Hamid Salleh berkata perkembangan itu berikutan harga lembu meningkat antara RM4,000 hingga RM5,000 seekor bergantung kepada saiz berbanding RM2,000 hingga RM3,000 seekor tahun-tahun sebelumnya.

"Kita jangka tahun ini orang buat korban berkurangan sebabnya rata-rata orang ramai yang kami temui mengeluh kerana tidak mampu untuk membeli kerana harga lembu tempatan mahal," katanya kepada Bernama ketika diminta mengulas mengenai harga lembu tempatan untuk ibadah korban yang mahal pada masa kini.

Menurut Hamid, masalah bekalan ternakan di negeri ini pada masa ini tidak berbangkit memandangkan ramai penternak membawa masuk lembu import dari Thailand dan Myanmar.

Beliau berkata pihaknya sedia membantu sekiranya orang ramai memerlukan lembu untuk membuat korban sempena Hari Raya Aidiladha ini.

Sementara itu, seorang pembekal lembu dari Kuala Terengganu, Wan Musa Wan Abdul Mutalib berkata kadar permintaan lembu yang diterima daripada umat Islam di negeri ini pada kali ini dilihat merosot teruk berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Beliau yang juga anggota jawatankuasa PTT berkata beliau cuma dapat menjual antara 40 hingga 60 ekor sahaja berbanding 100 ekor tahun lepas.

"Bila bekalan lembu saya dapat harganya sudah tinggi, maka saya terpaksa jual dengan harga tinggi, jadi orang buat korban tidak banyak," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS