Harga minyak petrol RON95 dan diesel akan naik 20sen seliter berkuat kuasa tengah malam ini.
Mulai 12.01 tengah malam ini, RON95 akan dijual pada harga RM2.30 seliter dan diesel pula RM2.20.
Sekarang ini RON95 dijual pada harga RM2.10 seliter dan diesel pula RM2.
Penyelarasan harga itu dibuat ekoran pengurangan subsidi sebanyak 20sen.
Perkara itu diumumkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) melalui kenyataannya hari ini.
"Walaupun dengan pengurangan kadar subsidi ini, kerajaan menganggarkan masih perlu membelanjakan lebih RM21 bilion bagi subsidi petrol RON95, diesel dan LPG untuk tahun 2014," menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu juga menyebut, kerajaan sedar bahawa langkah itu memberi kesan ekonomi kepada masyarakat.
Justeru, jelas kementerian, kerajaan akan terus menyediakan pelbagai bantuan dan insentif untuk meringankan beban rakyat, terutamanya yang berpendapatan rendah dan sederhana.
"Sehubungan itu, salah satu langkah yang akan diambil oleh kerajaan adalah untuk menaikkan kadar pemberian BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) yang akan diumumkan dalam Bajet 2015," menurut KPDNKK.
Antara langkah-langkah lain dipertimbangkan untuk meringankan beban rakyat, termasuk:
- Meneruskan bantuan persekolahan, subsidi harga rumah serta insentif percukaian.