Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Sultan bukanlah sahaja dalam istiadat dan majlis rasmi'
Diterbitkan:  Sep 26, 2014 5:00 PM
Dikemaskini: 3:50 PM

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini mengingatkan bahawa sultan bukanlah sahaja dalam istiadat dan majlis rasmi, tetapi kuasa baginda adalah untuk melihat negeri dan rakyat hidup dalam keamanan dan maju jaya.

Titah baginda lagi, krisis yang berlaku berhubung isu menteri besar Selangor telah membuka mata dan hati serta pandangan baginda terhadap politik di Selangor.

"Ahli-ahli politik datang dan pergi, mereka akan berkhidmat untuk selama 5 tahun dan mungkin akan diganti pada pilihanraya yang akan datang.

"Tetapi kedudukan Beta sebagai Sultan yang memerintah Negeri Selangor akan berterusan sehingga akhir hayat Beta," titah baginda di majlis angkat sumpah barisan Exco baru Selangor Istana Alam Shah petang ini.

Titah baginda lagi, sebagai sultan yang memerintah, tugas-tugas baginda amatlah berat untuk memastikan rakyat Selangor dapat menikmati hidup yang berkualiti dan pembangunan negeri yang sempurna.

"Beta tidak campur tangan dalam pentadbiran Negeri yang dijalankan oleh menteri besar. Beta hanya menasihatkan menteri besar jika terdapat sesuatu perkara yang boleh menyusahkan rakyat," titah baginda.

Titah baginda lagi, oleh kerana rakyat tidak diberi kefahaman akan fungsi sebenar Sultan, mereka beranggapan institusi raja itu adalah sebagai lambang sahaja tanpa mempunyai  apa-apa peranan dan kuasa yang diperuntukkan dibawah Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor.

"Beta dapati ada ahli politik yang tidak faham akan peranan dan kuasa Institusi raja atau mereka sengaja tidak memahaminya kerana Beta yakin mereka mempunyai agenda yang lain.

"Beta adalah sultan yang memerintah negeri Selangor sentiasa berpandukan pemerintahan Beta dengan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor yang telah di meterikan pada tahun 1959.

"Rakyat negeri Selangor yang berbilang kaum dan berbilang agama serta mempunyai pelbagai adat resam mahukan negeri Selangor ini aman dan makmur, bebas mengamalkan  agama masing-masing serta dapat hidup dalam tenteram dan harmoni," titah baginda lagi.

"Seterusnya Beta mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakyat negeri Selangor yang menyokong Beta dalam kemelut pelantikan menteri besar di negeri Selangor dan mempercayai Beta dalam menyelesaikan kemelut ini.

"Beta sentiasa memikirkan ketenteraman, kemakmuran dan keharmonian rakyat Negeri Selangor yang Beta kasihi ini," titah baginda yang turut mengucapkan terima kasih kepada pihak media arus perdana yang telah berkerjasama dengan pihak istana dalam menyiarkan kenyataan-kenyataan akhbar dari istana.

Di samping itu, baginda mahukan orang Melayu Islam janganlah berpecah belah dan tidak extremis atau mengelirukan rakyat hingga mengikut ajaran agama sesat.

"Beta tidak mahu orang Melayu Islam berpuak-puak, mencaci antara sesama sendiri, hingga meruntuhkan kemuafakatan orang Melayu yang mana Beta kuatiri suatu hari kelak jika perkara ini berterusan, orang Melayu akan menuju kehancuran.

"Ke manakah hala tuju, dan kemanakah perginya orang Melayu nanti. Beta sentiasa berdoa agar Allah Subhanahu Wata’ala membuka hati mereka supaya dapat melihat kebenaran dan seterusnya bersatu padu didalam memelihara dan mempertahankan tanah air kita yang dikasihi ini.

"Janganlah mudah sangat orang Melayu diperdaya sehingga maruah tergadai demi untuk kepentingan sendiri," titah baginda.

Kepada anggota Exco yang baru, baginda menyeru mereka supaya memberi sokongan yang padu kepada Menteri Besar yang baru, Azmin Ali.

"Lupakan segala sengketa yang lalu dan tumpukan segala tenaga, kepakaran dan pengalaman disertakan dengan keikhlasan untuk berkhidmat kepada rakyat Negeri Selangor yang telah memberi mandat kepada tuan-tuan dan puan-puan sebagai wakil rakyat mereka.

"Rakyat tidak suka melihat Negeri Selangor ini didalam kucar kacir dan mereka tinggal didalam ketakutan dan kesengsaraan," titah baginda.

Baginda berdoa kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala semoga dengan pelantikan menteri besar Selangor yang baru ini, parti-parti yang telah diberi mandat untuk memerintah negeri Selangor  akan dapat berkerjasama untuk mentadbir kerajaan negeri dengan penuh jujur dan ikhlas demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat Selangor.

"Rakyat  menaruh harapan supaya mereka dapat tinggal di negeri Selangor yang kaya dan maju ini serta dapat menikmati segala kemakmuran yang ada di dalamnya.

"Beta sentiasa berdoa kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala supaya negeri Selangor yang kita kasihi ini dirahmatiNya dan dilindungi daripada segala malapetaka dan apa juga yang boleh menyusahkan rakyat negeri Selangor yang Beta kasihi ini," titah baginda.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS