Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menunjukkan prestasi yang lebih teruk daripada pendahulunya, Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam pilihan raya umum 2013, tetapi tiada tindakan diambil kerana Umno lemah.
Dalam membuat analisis tersebut, wartawan veteran, Datuk A Kadir Jasin mendakwa telah bertemu Tun Dr Mahathir Mohamad awal bulan ini di mana bekas perdana menteri itu mengesahkan beliau menghantar surat kepada Najib mengkritik kepimpinan Umno, tetapi telah diminta menariknya balik melalui seorang perantara.
Dr Mahathir (kanan) berkata, prestasi Najib teruk pada 2013 - lebih teruk daripada Abdullah lakukan pada 2008, tulisnya dalam blognya.
Katanya, Umno menyingkirkan Abdullah tetapi tidak Najib dan Kadir bertanya apakah yang telah dipelajari oleh Umno?
Kadir juga bertanya apa yang telah berlaku dengan hasil bedahsiasat mengenainya dan sama ada Umno telah membuat perubahan.
Katanya, inilah perkara yang pemimpin Umno yang ikhlas perlu menjawab dan menurutnya, bukan setakat berkata mereka menghormati Dr Mahathir dan menyokong PM.
Kadir berkata, Abdullah dipaksa meletakkan jawatan oleh Umno, tetapi Umno tidak mendesak Najib supaya meletak jawatan.
Mahathir memberitahu beliau bahawa beliau (Mahathir) telah melakukan apa yang harus dilakukannya dengan membawa rungutan rakyat ke pengetahuan Najib dan terpulang kepada Umno dan rakyat untuk membuat keputusan mengenai masa depan PM sekarang.
Tetapi, tambah Kadir, Dr Mahathir tidak percaya yang Umno akan bertindak terhadap presiden Umno.
"Presiden Umno mungkin kuat tetapi parti yang lemah," tambah Kadir.