Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Setelah dilihat agak lama membisu dalam isu kemelut menteri besar Selangor, Pengerusi BN Selangor Datuk Seri Noh Omar muncul bersama ratusan rakyat Selangor memberi sokongan kepada sultan.

Beliau bersama lebih 500 rakyat mewakili 18 badan bukan kerajaan (NGO) berkumpul dengan berpakaian kuning di Seksyen 16 Shah Alam hari ini dalam Himpunan Menjunjung Kasih Sultan Selangor melafazkan ikrar taat setia kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam pemilihan menteri besar.

Noh berkata BN tidak boleh lagi berdiam diri apabila sultan dipertikaikan oleh pihak pembangkang dalam melaksanakan hak baginda memilih peneraju negeri itu.

“BN bangkit apabila institusi diraja dicabar dan tidak dihormati dan akan terus berjuang sekiranya selepas majlis angkat sumpah menteri besar baharu mendapat tentangan pihak tidak berpuas hati dengan pilihan sultan.

“Kita kena sokong siapa sahaja yang diperkenan sultan, jika ada mana-mana pihak yang mempertikaikan keputusan tuanku selepas Selasa ini dan juga cuba gugat kestabilan Selangor kerana tidak puas hati dengan keputusan dibuat Tuanku maka BN tidak akan berdiam diri kita akan bangun dan terus berdiri teguh di belakang tuanku,” katanya dalam himpunan yang dianjurkan oleh gabungan NGO yang diberi nama “Gerak Daulat” itu,

Noh menafikan BN sebelum ini memberi sokongan kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim atau mana-mana individu untuk membentuk kerajaan perpaduan sebaliknya hanya menyokong usaha Khalid bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan masalah air di negeri ini.

Malah beliau menjelaskan BN tidak mempunyai apa-apa kepentingan dalam pentadbiran dan hanya mahu krisis ini diselesaikan segara dengan akur kepada keputusan sultan agar tidak menyusahkan rakyat sendiri.

Ini termasuk sebarang bantahan atau rancangan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas lantikan menteri besar baru Selasa ini

“Sesiapapun dilantik kita tetap jadi pembangkang dan buat kerja sebagai pembangkang, terima sepenuhnya pilihan tuanku.

“Diharapkan semua rakyat dan parti politik akur dan terima dengan keputusan tuanku.

“Bubar DUN..kita tak mahu fikir sekarang. Kita harap lepas Selasa kemelut ini akan selesai, banyak kerja nak buat, Selangor mesti ditadbir dengan baik demi rakyat,” katanya.

Pakatan Rakyat dilihat tidak bersatu hati dalam krisis ini apabila PKR tetap mahukan presidennya Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dilantik sebagai menteri besar.

PAS pula dilaporkan menghantar nama ADUN mereka sendiri kepada istana setelah presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang secara terbuka tidak setuju dengan pilihan Wan Azizah menggantikan Khalid.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS