Istana Selangor dilaporkan sudahpun menemuduga tiga orang calon – dua anggota Exco dari PAS dan seorang ADUN PKR – untuk dilantik sebagai menteri besar yang baru.
Laporan The Star Online hari ini menyebut, Iskandar Samad, Dr Ahmad Yunus Hairi dan Azmin Ali hadir dalam sesi temuduga berasingan yang diadakan dalam tempoh seminggu lalu.
Laporan yang memetik sumber tidak dinamakan itu turut menyenaraikan nama anggota panel temuduga berkenaan - Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamed Khusrin Munawi, penasihat undang-undang negeri, Datuk Nik Suhaimi Nik Sulaiman serta dua anggota Majlis DiRaja.
Menurut portal itu lagi, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut dimaklumkan mengenai temuduga tersebut oleh timbalan presidennya, Azmin Ali.
Laporan itu juga mendakwa Anwar sudahpun menerima perkembangan tersebut secara positif dan akur untuk “melupakan perkara itu”.
Perkara itu dinafikan sumber PKR yang menyebut, mesyuarat biro politik pada malam tadi hanya membincangkan mengenai senario yang mungkin berlaku sekiranya sultan Selangor benar-benar berhasrat agar Azmin dipilih menjadi MB.
“Keputusan semalam hanya untuk mempertegas pilihan yang dibuat sebelum ini iaitu Wan Azizah sebagai menteri besar,” kata anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR.
Cakap-cakap yang mendakwa PKR bersetuju dengan pelantikan Azmin itu timbul susulan kenyataan beberapa pengikut Azmin di Twitter selepas mesyuarat pada malam tadi.
Mesyuarat di ibu pejabat PKR, Petaling Jaya itu dihadiri beberapa orang anggota Majlis Pimpinan Pusat dan dipengerusikan oleh Wan Azizah.