Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Seorang lagi pemimpin utama PAS diejek dalam persidangan Muktamar PAS ke-60, kali ini kerana mempersoalkan kewajaran mengemukakan nama calon dari parti berkenaan untuk jawatan menteri besar Selangor.

Pengerusi lajnah undang-undang PAS, Mohamed Hanipa Maidin diberi layanan seperti itu oleh sekumpulan pemerhati ketika beliau menyampaikan ucapan penggulungan di Muktamar PAS ke-60 di Batu Pahat, pagi ini.

Dalam ucapannya, Mohamed Hanipa berkata parti itu perlu membuat pertimbangan “rasional dan munasabah” sekiranya ADUN parti tersebut ditawar menjadi menteri besar Selangor.

Katanya, PAS perlu mempertimbangkan sejauh mana kerajaan negeri itu dapat menjamin kestabilan jika jawatan tersebut diisi oleh wakil parti berkenaan.

"Adakah kita terfikir bahawa jika kita terima jawatan MB, kita tidak akan boleh lari daripada tohmahan bahawa PAS telah memungkiri janji. Sebab kita kata sudah berjanji. Kalau boleh jamin (tak ditohmah), tiada masalah, silakan ambil,

"Kedua, sekiranya kita ambil, adakah kita terfikir kerajaan itu kuat atau lemah. Kalau kita terima, rakan-rakan Pakatan tidak akan menyokong kita.

Teriaklah sekuat-kuatnya

"Kerusi ini untuk PKR, kita tidak akan disokong oleh PR dan DAP. Bagaimana kita nak jadi MB yang kuat," katanya.

Kumpulan pemerhati parti Islam itu yang tidak bersetuju dengan ucapan berkenaan seterusnya mengebu Mohamed Hanipa, namun ia tidak menjejaskan pendirian peguam tersebut.

"Kamu boleh 'boo' dan teriak sekuat-kuatnya," kata Hanipa kepada sebahagian pemerhati yang memaksa timbalan pengerusi tetap Hussein Ismail menenangkan keadaan.

"Ketiga, kerajaan ini (bawah PAS) akan tercabar apabila nkepimpinan PAS akan menghadapi masalah dan memecah belahkan Pakatan Rakyat. Ini pandangan saya.

"Sekarang kamu jerit sekuat-kuatnya," katanya yang mengakhiri ucapannya.

Tindakan pemerhati dalam persidangan tersebut menunjukkan penentangan yang jelas dari kumpulan dalam PAS ke atas kelompok pro-Pakatan Rakyat yang tidak bersetuju dengan usaha melantik ADUN dari parti tersebut ke jawatan MB Selangor.

Majlis angkat sumpah MB Selangor bakal diadakan Selasa ini.

PAS sebelum ini mengemukakan tiga nama calon kepada sultan Selangor untuk pertimbangan baginda – dua calon PKR dan seorang dari PAS.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS