Susulan perbahasan panas berkaitan isu perbezaan pandangan antara Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan kepimpinan parti yang lain, Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din mengarahkan perwakilan supaya tidak lagi membahaskan isu itu.
"Kita bercakap (perkara itu) sejak daripada semalam hingga ke hari ini. Saya rasa isu itu, untuk kebaikan daripada para perwakilan kepada pemimpin sudah disampaikan.
"Semua daripada kita tahu isu ini. Saya rasa isu ini berhenti setakat itu sahaja. Perwakilan lain, yang berbaki saya minta isu ini tutup.
"Semua yang berasa di atas dapat maklumat dan membuat catatan dan akan mengulas ketika ucapan penggulungan... Yang panas, jangan dipanaskan lagi, " katanya sebelum sidang muktamar meneruskan perbahasan ucapan dasar presiden bersambung.
Suasana panas sidang muktamar sebelah pagi ini apabila beberapa perwakilan pro-ulama membahas mempertahankan kepimpinan ulama termasuk presiden dan Majlis Syura Ulama.
Perwakilan Wilayah Persekutuan Dr Azhari Ariffin membahaskan ucapan dasar presiden dengan membacakan doa yang mengutuk pemimpin PAS antara Timbalan Presiden Mohamad Sabu, ADUN Hulu Kelang Saari Sungib dan ADUN Morib Hasnul Baharuddin.
Sementara itu, suara lantang perwakilan Terengganu Mohd Nor Hamzah mengkritik pemimpin parti yang mengikut telunjuk pemimpin PKR dan DAP berbanding arahan presiden parti dan menyindir pemimpin yang berkawan dengan pemimpin sosialis.
Semalam, terdapat juga perwakilan yang pro-Erdogan yang turut membahaskan isu pertikaian mengenai isu MB, memperkukuhkan Pakatan Rakyat dan di samping menegur pemimpin yang "berjongkang-jongkit" dengan Umno.