PAS meminta Umno tidak memainkan isu royalti minyak dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Pengkalan Kubor.
Penasihat Jentera Pilihan Raya PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata parti itu tidak akan teragak-agak melaporkan kepada mahkamah sesiapa yang sekiranya Umno terus membuat kenyataan mengkritik kerajaan Kelantan yang menuntut 5 peratus royalti minyak di mahkamah.
Ini kerana menurut beliau isu itu sedang menjalani proses undang-undang dan adalah subjudis sekiranya dibincang di tempat awam.
"Saya ingin ingatkan di sini, isu royalti sedang berlangsung di mahkamah jadi jika ada mana mana pihak yang membangkitkan isu ini berkemungkinan pihak kami akan membuat bantahan kepada mahkamah.
"Isu yang ada di mahkamah adalah isu yang tidak boleh dibincangkan kerana itu adalah perkara subjudis dan penghinaan kepada mahkamah," kata beliau dalam sidang media di markas PAS Pengkalan Kubor hari ini.
Semalam Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menganggap tuntutan PAS terhadap royalti minyak di negeri itu satu pembohongan dan ia lebih kepada wang ihsan.
Bagaimanapun ketika ditanya mengapa PAS turut memainkan isu tersebut, Takiyuddin yang juga bekas Exco Kelantan berkata partinya hanya menyebut isu tuntutan royalti secara umum, tidak seperti Umno.
"Menyebut isu royalti ini tidak boleh secara spesifik, perkara yang di dalam mahkamah adalah perkara yang subjudis, jadi kalau sebut secara umum apa yang kerajaan Kelantan tuntut royalti itu adalah perkara umum bukan kami (PAS) membantah mahkamah," kata beliau.
Takiyuddin turut menyatakan PAS akan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mencari kebenaran tuntutan royalti minyak yang selama ini dituntut kerajaan negeri Kelantan
PRK 25 September menyaksikan pertemuan tiga penjuru antara Wan Rosdi Ibrahim (PAS), Mat Razi Mat Ail (BN) dan dan Izat Bukhary (Bebas).