Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Berdepan pelbagai kritikan dari dalam dan luar parti, PKR menggerakkan jentera mereka untuk memberi penerangan mengenai isu kemelut menteri besar Selangor.

Pimpinan tertinggi PKR termasuk Ketua Umum Datuk Seri Dr Anwar Ibrahim akan menjelajah ke seluruh 56 Dewan Undangan Negeri Selangor bagi menerangkan secara terus perspektif parti dan penjelasan mengenai isu ini.

Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail memberitahu Malaysiakini, langkah itu diambil oleh biro politik selepas mesyuarat mereka kelmarin.

"Isu Selangor dah berlaku dan kita sedang berdepan satu kemelut. Jadi pimpinan parti berpendapat satu siri penerangan lebih sistematik bagi menerangkan kepada semua menurut perspektif parti.

"Anggota parti perlu lebih memahami bagaimana langkah yang dijalankan pimpinan parti dan apakah strategi yang disusun kepimpinan," kata beliau kepada Malaysiakini hari ini.

PKR dilaporkan hanya mencalonkan satu nama kepada Istana sebagai calon menteri besar Selangor iaitu presiden mereka Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Istana sebelum ini melabel parti itu sebagai biadab dan derhaka kerana tidak menghantar lebih dari dua nama yang diminta.

PKR dan DAP kemudiannya memohon ampun kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Bagaimanapun Anwar dalam jawapan beliau kelmarin menegaskan akan mengikut "konvensyen" sebelum ini dan dilaporkan mahu menghadap Sultan bagi menjelaskan sendiri hal ini kepada baginda Tuanku.

Sementara itu, satu jawatankuasa bersama telah dibentuk selepas mesyuarat di antara Anwar, Anggota Parlimen, ADUN dan sebahagian ketua cabang PKR di Selangor.

Sumber menyatakan jawatankuasa peringkat negeri itu akan diketuai oleh penyandang timbalan PKR Selangor Zuraida Kamaruddin dan disertai oleh beberapa lagi pimpinan pusat yang terdiri dari anggota parlimen dan beberapa ketua cabang.

Sumber tersebut turut menyatakan beberapa pimpinan negeri meluahkan bantahan dan tidak dimasukkan dalam jawatankuasa bersama ini.

Hal itu bagaimanapun dinafikan Saifuddin yang menyatakan tiada sebarang bantahan atau protes dibuat ketika mesyuarat peringkat biro politik kelmarin atau peringkat negeri semalam.

"Tak timbul keputusan biro politik diprotes atau dibincangkan wakil Selangor.

"Kerana parti baru selesai pemilihan, jawatankuasa negeri masih belum dilantik, tetapi sepertimana di Kelantan di mana pimpinan Kelantan diberi peranan, begitu juga di Selangor, pimpinan negeri diberi peranan," kata beliau.

Saifuddin turut menjangkakan akan mengambil masa beberapa minggu bagi menyelesaikan siri penerangan ini.

"Kalau ada (ahli) yang tidak bersetuju, kita akan terangkan kepada mereka," kata beliau.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS