Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes piket RUM: DAP mahu Liow campur tangan
Diterbitkan:  Sep 10, 2014 4:51 PM
Dikemaskini: 3:22 PM

DAP menggesa Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai campur tangan dalam tindakan syarikat Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memecat kakitangan yang terlibat dalam piket.

Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAP, Liew Chin Tong berkata, Liow perlu campur tangan segera demi menjaga kepentingan pekerja dan syarikat KTMB.

"Saya menyeru kepada Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai untuk menghentikan semua pemecatan yang dilakukan oleh KTMB dengan segera.

"KTMB bukan milik presidennya yang telah dilantik iaitu Datuk Elias Kadir.

“Kakitangan daripada kesatuan tidak sewajarnya dikenakan tindakan disiplin hanya kerana mereka menganjurkan piket untuk mendesak presiden (KTMB) letak jawatan," katanya.

MP Kluang itu juga berkata, beliau melihat pengerusi KTMB Datuk Nawawi Ahmad tidak mempunyai kuasa serta tidak dapat membuat keputusan terhadap syarikat berkaitan kerajaan (GLC)  itu.

"Memandangkan pengerusi yang dilantik kerajaan tidak dapat menjalankan kerja dengan efektif dalam menyelesaikan krisis ini, maka inilah masanya untuk Liow campur tangan dengan serta merta," katanya lagi.

Semalam, Presiden Kesatuan Pekerja Keretapi Tanah Melayu (RUM)  Abdul Razak Md Hassan berkata, seramai lapan orang lagi anggotanya dikenakan tindakan penyingkiran oleh majikan mereka.

Rabu lalu, Abdul Razak dan timbalannya, R Subramaniam dipecat atas pembabitan mereka pada piket 9 Mei.

Seramai 15 orang lagi digantung tugas berkuat kuasa semalam oleh KTMB di atas penglibatan mereka dalam piket itu manakala seramai 110 orang telah menerima notis tunjuk sebab.

Piket yang disertai ratusan anggota RUM itu bagi mendesak Elias melepaskan jawatan kerana didakwa menunjukkan prestasi yang kurang cemerlang sepanjang perkhidmatannya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS