Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) memutuskan menganjurkan hari 'hartal' (mogok umum) sebagai tanda sokongan terhadap pensyarah undang-undang universiti itu Azmi Sharom yang didakwa menghasut di mahkamah.
Pada 10 September ini mereka tidak akan hadir kuliah dan akan mengambil bahagian dalam perhimpunan tiga jam setengah bermula 1 petang, dinamakan "Solidarity4AzmiSharom".
"Perkara ini (hartal) tidak pernah mempunyai duluan (di UM).
"Ini kali pertama dalam sejarah UM, hartal digunakan bagi menunjukkan persaudaraan," kata Vince Tan, penganjur dan pelajar Azmi.
Sementara itu, Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) Fahmi Zainol menganggarkan kira-kira 300 mahasiswa, kebanyakannya daripada fakulti undang-undang, tempat Azmi mengajar, akan turut serta.
Katanya, acara yang disokong oleh Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Malaya (PKAUM) itu akan diisi dengan ucapan aktivis pelajar, pensyarah dan sesi soal jawab berkenaan akta hasutan.
Azmi sendiri dijadual hadir.
Fahmi berkata, mereka akan berkumpul di Fakulti Undang-undang, Fakluti Sains dan Fakulti Ekonomi sebelum berarak ke Speaker Corner Universiti Malaya (UM).
“Walaupun (sekarang UM) bukan waktu cuti kuliah, awal semester kelas masih kurang dan inilah waktu terbaik untuk mengadakan acara ini,” katanya.
Hartal merujuk kepada pemulauan kerja besar-besaran sebagai tanda bantahan.