Pemuda PKR (AMK) mencabar Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin untuk tampil menyatakan pendirian terhadap pertuduhan menghasut terhadap ahli akademik Prof Madya Dr Azmi Sharom.
Timbalan ketua AMK Dr Afif Bahardin berkata, pendirian itu harus dizahirkan ekoran penampilannya sebagai “pemimpin muda yang progresif”.
“Apakah Pemuda Umno merestui tindakan kerajaan yang menyalahgunakan akta lapuk warisan kolonial untuk mengekang percambahan idea dan wacana intelektual?” soalnya.
Azmi, 45, semalam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur terhadap pertuduhan menyebut perkataan menghasut berhubung krisis Perak 2009, pada 15 Ogos lepas.
Azmi, pensyarah undang-undang Universiti Malaya, dituduh menyebut perkataan itu di ibu pejabat polis kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) di Jalan Hang Tuah.
Dalam kenyataannya hari ini, Afif ( kiri ) berkata, AMK mengecam keras pendakwaan bawah Akta Hasutan1948 terhadap Azmi kerana ia “jelas mencabul prinsip kebebasan bersuara dan kebebasan akademik”.
Exco kesihatan Pulau Pinang itu juga berkata, tidak adil untuk mendakwa Azmi hanya kerana mengutarakan pendapat atas kapasiti seorang pensyarah undang-undang.
“Tambahan pula, pendakwaan beliau dilihat sebagai kesinambungan dari penyalahgunaan Akta Hasutan oleh kerajaan yang mutakhir ini menyaksikan beberapa tokoh politik pembangkang didakwa,” katanya.
Afif juga menyeru kerajaan “menghentikan kegilaan ini” dan menghormati hak bersuara menyatakan pandangan sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.