Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menolak tanggapan pelanggan pam minyak Petronas yang mendakwa ditipu kerana gagal mendapatkan payung melalui penyertaan dalam satu program promosi.

Ketua aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan ketika dihubungi Malaysiakini berkata beliau percaya bahawa Petronas kehabisan bekalan payung untuk diagihkan kepada pelanggannya.

“Tiada isu Petronas ingin menipu atau sebagainya... Bila seorang pelanggan ingin menebus sampai 15 payung maka Petronas terpaksa bahagi sama rata untuk orang lain (yang ingin menebus) juga

"Penyelesaian bagi kes ini bagi saya, pelanggan perlu bersabar dan menunggu sehingga Petronas mendapat stok secukupnya untuk diagihkan kepada pelanggan yang layak," katanya.

Tambahnya, PPIM menerima sekurang-kurangnya enam aduan dari pengguna yang tidak berpuas hati dengan kempen berkenaan.

Bagaimanapun, Petronas sendiri telah menjelaskan bahawa syarikat tersebut kekurangan stok payung ekoran sambutan para pelanggan yang sangat menggalakkan, katanya.

Beliau merujuk kepada kenyataan Petronas di laman Facebook pada 18 Ogos lalu, yang menjelaskan bahawa kelayakan pelanggan untuk memperolehi payung melalui program itu tertakluk kepada “prinsip siapa cepat dia dapat”.

Sindiran pelanggan

Promosi yang bermula pada 20 Julai sehingga 15 September itu menetapkan pengguna untuk mengumpul 10 bukti pembelian bahan api untuk membolehkan mereka mendapatkan payung khas itu.

Semakan di laman Facebook Petronas menunjukkan para pelanggannya masih tidak berpuas hati dan meninggalkan komen serta sindiran ke atas syarikat tersebut kerana gagal membekalkan payung itu seperti yang dijanjikan.

Para pelanggan berkenaan turut berkenaan membangkitkan bahawa “prinsip siapa cepat dia dapat” itu tidak dinyatakan dengan jelas ketika program tersebut bermula, Julai lalu.

Antara lainnya, Fazdullah S Medar, yang berkata, Petronas mempromosi barang yang tidak wujud.

“Pengguna dipayungkan oleh Petronas... Promosi barang yang tiada,” tulisnya di laman tersebut.

Seorang lagi pelanggan, Lucas Xian Loong berkata Petronas sepatutnya meletakkan harga untuk payung tersebut bagi membolehkannya dijual secara tunai.

“Payung anda sudah untuk didapati bagaikan emas. Lebih baik anda letakkan harga dan jual sahaja jika takut hilang duit kerana payung.

“Bagus, Petronas!,” tulisnya dengan sinis.

Kritikan ke atas Petronas itu turut dikesan dalam bentuk video parodi , yang menunjukkan pengalaman seorang pengguna untuk mendapatkan payung tersebut.

Dalam video itu, beliau gagal mendapatkan payung yang dihajati selepas berkunjung ke sekurang-kurangnya lima kedai Pertronas.

Video sepanjang lebih dua minit yang dimuatkan di Youtube itu mendapat perhatian lebih 6,000 penonton setakat ini.


NADIA OTHMAN wartawan pelatih di Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS