Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

dikemaskini Pakar perlembagaan Abdul Aziz Bari berkata tiada apa boleh dilakukan sekiranya sultan Selangor mengambil keputusan membubarkan DUN Selangor minggu depan.

Pensyarah undang-undang itu berkata, sultan berkuasa untuk berbuat demikian walaupun beliau tidak tepat jika menurut amalan undang-undang sistem Westminster.

"Kalau katakan Isnin ini sultan bubar DUN. (Kita) Tak boleh buat apa-apa," kata beliau dalam Forum Krisis Selangor : Isu Perlembagan dan Demokrasi di Kuala Lumpur semalam.

Bagaimanapun, sultan sebagai ketua negeri harus melihat amalan di negara Komanwel lain yang menuntut pemerintah memainkan peranan "mengatasi politik" dan tidak dilihat memihak kepada mana-mana parti politik atau pentadbir.

Ini penting kerana menurut beliau, situasi di Selangor kini tidak memberi asas yang kuat untuk membolehkan DUN dibubarkan.

"Situasi yang membenarkan pembubaran DUN adalah seperti berlakunya parlimen tergantung.

(Krisis) ini tidak bermakma baginda boleh membuat keputusan sesuka hati. Baginda perlu melihat amalan di negara Komanwel lain.

"Sebagai ketua negeri, baginda harus dilihat mengatasi politik," hujah beliau.

Justeru Aziz menganggap sultan sepatutnya memberi kata putus dengan tegas ketika Khalid menghadap baginda pada 11 Ogos lalu, selepas menteri besar itu disingkirkan dari PKR.

"Pada pandangan saya itulah permulaan apa yang berlaku sekarang.

"Keadaan akan menjadi berbeza sekiranya baginda bertindak dengan tegas pada 11 Ogos itu.

"Sekiranya semua mengikut buku (undang-undang) keadaan akan jadi jauh lebih mudah," kata beliau.

Pakatan masih kerajaan majoriti

Sementara itu, bekas presiden Majlis Peguam Datuk S Ambiga yang bertindak sebagai moderator forum juga tidak bersetuju sekiranya DUN dibubarkan.

Katanya, krisis politik itu berbeza dengan situasi di Perak pada 2009 kerana Pakatan masih membentuk majoriti di Selangor.

"Di Perak keadaannya begini. Semalam rakyat memilih kerajaan Pakatan Rakyat, esoknya dapat kerajaan BN.

"Di Selangor pula tak timbul soal itu. Pakatan masih majoriti. Sebab itu saya menyokong pembubaran DUN di Perak ketika itu," kata beliau.

Sementara itu, Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah mencadangkan satu kaukus rasmi dibentuk oleh Pakatan Rakyat untuk melaksana dasar Pakatan Rakyat dan membantu pentadbiran Selangor secara terus.

"Kaukus itu dapat mengelakkan masalah seperti ini berlaku di Selangor," kata beliau.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS