Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin mendakwa rakyat Selangor akan bangkit mempertahankan negeri itu sekiranya DUN dibubarkan untuk membolehkan pilihan raya baru diadakan.
Malah, ia akan menyebabkan Umno kehilangan semua kerusi, kata Zuraida dalam ucapan penggulungannya di kongres Wanita PKR di Shah Alam hari ini.
Keyakinannya itu berdasarkan bacaannya bahawa pembubaran DUN itu mustahil akan berlaku kerana presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail mendapat sokongan majoriti dari 30 orang ADUN.
"Kenapa nak bubar? Isu bubar tidak mungkin (berlaku) dan satu perkara yang mengarut. Dan perkara ini memalukan rakyat negeri Selangor dan meningkatkan kemarahan rakyat Selangor.
“Dan kalau nak pilihan raya negeri, Umno perlu bersedia untuk 56-0 (kerusi DUN).
"Sekiranya terjadi (pilihan raya negeri), rakyat akan memberontak dan Umno akan sifar di Selangor," katanya dalam ucapan tersebut dengan penuh bersemangat.
Beliau juga menasihati para perwajkilan agar tidak menghiraukan sebarang spekulasi berhubung pencalonan Wan Azizah sebagai menteri besar yang baru.
Menurutnya, ada cakap-cakap yang mendakwa sultan Selangor meminta satu lagi nama alternatif untuk dicalonkan sebagai menteri besar.
"Janganlah dengar spekulasi di luar. Ada yang kata sultan tak terima orang perempuan, sultan tak terima Wan Azizah dan nak ada dua nama.
"Kalau sultan betul-betul tolak, kita tolak. Kita ganti dengan nama kedua. Tak jadi isu," katanya lagi.
Isu sokongan Wan Azizah
Sementara itu, ucapan lima orang perwakilan dalam perbahasan ucapan dasar ketua wanita sebelum itu antara lainnya menumpukan isu sokongan pada wanita untuk dilantik ke jawatan utama.
Ia merujuk kepada polemik yang timbul berhubung rancangan agar Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim digantikan dengan presiden parti, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Antaranya, wakil Sarawak, Nurhanim Mokhsen yang berkata, wanita kini bukan hanya berperanan sebagai sayap kanan parti, tetapi kini mampu menjadi penggerak setanding dengan kaum lelaki.
"Wanita tak harus memencil diri. Wanita tak boleh berpegang dengan andaian kuno iaitu wanita itu lemah dan di dapur dan hanya hayun buaian dan sebagainya.
"Hari ini wanita segandingan dengan kaum Adam dan boleh memimpin rumah tangga, masyarakat, mampu menerajui negeri malah wanita mampu menjadi perdana menteri, Insha-Allah," katanya.