Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Seorang pegawai Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini membuat laporan polis berhubung sebuah dokumen mendedahkan "Langkah Kajang yang didakwa palsu oleh pengarah strategi PKR, Rafizi Ramli

Pegawai Tugas-tugas Khas Menteri Besar Selangor, Azrul Azwa Ahmad Tajuddin berkata, laporan polis itu dibuat bagi mengelak namanya dikaitkan dengan dokumen itu.

"Saya hanya ingin membersihkan nama saya dari terkait dengan dokumen ini.

"Saya turut menggesa pihak berkuasa terlibat menyiasat dengan kadar segera dan menyeluruh untuk menangkap dalang yang terlibat.

"Terdapat dakwaan yang amat serius dan mampu menggugat keselamatan secara am dan kestabilan ekonomi negara (dalam dokumen ini)," kata beliau kepada Malaysiakini selepas memberi keterangan malam ini.

Azrul membuat laporan di balai polis Jalan Travers, Brickfields pada jam 1.55 petang tadi sebelum memberikan keterangan kepada beberapa pegawai penyiasat.

"Saya ingin menegaskan bahawa saya tidak tahu menahu atau mempunyai sebarang kaitan dengan perancangan Langkah Kajang atau mana-mana intipati lain yang terkandung dalam dokumen setebal tujuh muka surat itu," demikian menurut laporan polis itu yang diperoleh Malaysiakini .

Dokumen yang diberi nama "Ringkasan Eksekutif Langkah Kajang" disebarkan meluas dalam Internet hari ini, yang didakwa dikarang oleh Rafizi pada 30 Disember tahun lalu.

Nama Azrul disebut sebagai salah seorang perancang bersama dengan Institut Rakyat. Beliau telah meninggalkan Istitut Rakyat April lalu.

Beliau menyatakan mendapat layanan yang baik dari pegawai polis terbabit.

Rafizi hari ini menasihatkan penyokong Pakatan Rakyat agar berhati-hati dengan satu dokumen palsu yang dakwanya digunakan untuk memfitnah pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat.

Pengarah strategi PKR itu menyalahkan BN dan Umno di atas penyebaran dokumen itu - yang didakwa mengandungi ringkasan eksekutif "Langkah Kajang'.

Bagaimanapun Rafizi masih belum membuat laporan polis berkenaan penyebaran dan isi kandungan dokumen ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS