Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KP: Khabar angin kes Ebola di M'sia palsu
Diterbitkan:  Aug 13, 2014 8:38 AM
Dikemaskini: 12:43 AM

Laporan kononnya terdapat satu kes jangkitan Ebola di negara ini yang tersebar dalam laman sosial termasuk Facebook adalah tidak benar dan hanya khabar-khabar angin, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

    

Katanya sehingga kini tiada sebarang kes kuarantin bagi penyakit itu dilakukan.

    

Dr Noor Hisham menyelar tindakan menyebarkan khabar angin itu dan menyifatkan ia sebagai perbuatan tidak bertanggungjawab.

    

"Risiko penularan Ebola ke Malaysia amat rendah. Jangan sebar berita palsu," katanya menerusi akaun Twitter.

    

Beliau berkata demikian sebagai mengulas penyebaran mesej serta gambar seorang kanak-kanak yang dikatakan mengalami gelembung air pada bahagian kaki dipercayai akibat jangkitan awal Ebola.

    

Penyakit Ebola merupakan penyakit demam berdarah yang mencatat kadar kematian tinggi dan boleh menjangkiti manusia serta haiwan primat seperti monyet.

    

Sejak mula dikesan di tiga negara Afrika Barat iaitu Sierra Leone, Liberia dan Guinea pada Mac lalu, Ebola telahpun mengakibatkan lebih 1,000 kematian.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS