Tiga orang Exco DAP Selangor mungkin bertindak meletak jawatan susulan keputusan PKR memecat keanggotaan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim.
Pengerusi DAP Selangor Tony Pua berkata, DAP akan membincangkan langkah tersebut dalam mesyuarat jawatankuasa eksekutif pusatnya (CEC) esok.
“Selepas beliau disingkirkan, kami tidak lagi mengiktiraf status Khalid sebagai MB. Kami tidak akan bekerjasama dengan MB yang bukan dari Pakatan Rakyat,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Seramai 10 anggota exco kerajaan negeri daripada Pakatan Rakyat yang merangkumi empat daripada PAS, manakala PKR dan DAP masing-masing tiga orang.
Tiga anggota Exco tersebut adalah Ean Yong Hian Wah, V Ganabatirau dan Exco kanan Datuk Teng Chang Khim.
Pua berkata, CEC juga akan membincangkan kemungkinan bahawa Khalid akan menasihat Sultan agar membubarkan Dewan untuk membolehkan pilihan raya baru diadakan.
Katanya, kemungkinan bahawa pilihan raya negeri diadakan secara mengejut kini lebih besar.
Sementara itu, Exco kanan Iskandar Abdul Samad berkata beliau telahpun menjangkakan bahawa Majlis Pimpinan Pusat PKR akan memecat keanggotaan menteri besar itu dari parti.
Katanya, beliau kini berserah kepada PAS mengenai tindakan yang patut dijalankannya.
“Saya telah menjangka Tan Sri Khalid akan dipecat apabila PAS Pusat menangguhkan tarikh mesyuarat mereka.
"Saya sekarang hanya menunggu arahan dari parti saya,” kata pesuruhjaya PAS Selangor itu ketika dihubungi Malaysiakini .
Seorang lagi orang kanan menteri besar, Faekah Husin turut berkongsi pandangan sama dengan Iskandar.
Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Incorporated itu turut membangkitkan bahawa usaha untuk memecat Khalid itu diatur oleh "gerakan" tertentu.
"Bagi saya ini tak mengejutkan. Perkara ini tak mengejutkan apabila melihat daripada momentum dan gerakan yang mereka aturkan.
"Keputusan ini kita dah jangka dan keputusan ini kita dah masukkan dalam salah satu situasi gerak kerja kita," katanya tanpa mengulas lanjut mengenainya.
Manakala Timbalan Pengerusi DAP Selangor Gobind Singh Deo pula menyifatkan pemecatan itu sebagai "satu langkah menuju arah yang tepat".
"Khalid diberikan setiap peluang untuk mempertahankan dirinya. Terdapat proses pengadilan yang terbuka.
"PKR mempunyai segala hak untuk mendisiplinkan anggotanya. Saya rasa kes ini, berdasarkan keadaannya, layak dihukum dengan pemecatan," kata MP Puchong itu.