Bekas ADUN Kajang Lee Chin Cheh menggesa Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim agar meneladani beliau dengan menerima arahan parti untuk berundur daripada jawatannya.
Lee berkata Khalid sudahpun maklum dengan arahan untuk berundur seawal Januari tahun ini lagi selepas satu pertemuan dengan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Dia bersetuju untuk melakukannya jika beliau tidak digantikan dengan Azmin Ali," kata Lee kepada Malaysiakini .
Menurut Lee, keingkaran Khalid bermula pada tahun 2009 – setahun selepas Pakatan mengambil alih Selangor – apabila menteri besar itu enggan menurut keputusan parti.
"Malah, kami kecewa sebenarnya dengan ketiadaan sebarang tindakan dari parti terhadap Khalid," kata Lee lagi.
Menurut bekas ADUN itu, Khalid juga mempunyai perangai suka menggambarkan pemimpin PKR lain sebagai individu yang mudah dirasuah – dan ini menyebabkan mereka marah.