Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN Apakah keutamaan sebenar Anwar Ibrahim dan PKR?

Adakah keutamaan beliau untuk terus memupuk Pakatan Rakyat sebagai sebuah gabungan bersatu yang mampu ganti BN pada PRU-14?

Atau untuk menjadikan isteri beliau menteri besar Selangor walau apa pun akibatnya.

Soalan ini penting, memandangkan krisis yang semakin merebak di Selangor. Ada beberapa pilihan yang terbuka kepada PKR.

Pilihan pertama adalah untuk membiarkan status quo, di mana kestabilan yang dinikmati di Selangor beberapa tahun, terus dikekalkan.

Pilihan kedua adalah untuk Anwar dan PKR meneruskan usaha mereka untuk memaksa Khalid Ibrahim mengkosongkan kerusi menteri besar.

Artikel ini akan meneliti akibat pilihan kedua. Kita bermula dengan melihat balik proses yang memulakan retak-retak dalam Pakatan.

Macam Umno dalam BN?

Pertama, PKR mengumumkan bahawa parti telah memutuskan untuk mengganti Khalid dengan isteri Anwar, Wan Azizah Wan Ismail.

Selepas itu, mesyuarat Pakatan diadakan, yang dihadiri Anwar, Lim Guan Eng dan Mohamed Sabu - kesemuanya pemimpin tertinggi parti masing-masing, kecuali Mat Sabu, yang hanya timbalan presiden.

Selepas mesyuarat tersebut, kenyataan media dibuat yang memaklumkan bahawa Pakatan telah ‘menerima’ cadangan PKR berkenaan Wan Azizah, dan akan membawa perkara tersebut kepada parti masing-masing untuk dibincangkan.

Kemudian, Presiden PAS  Abdul Hadi Awang membuat kenyataan media bahawa PAS berpendirian Khalid harus dikekalkan sebagai menteri besar.

Saifuddin Nasution kemudiannya membuat kenyataan membantah pendirian ini, kerana kononnya dalam mesyuarat tersebut, keputusan menggantikan Khalid dengan Wan Azizah telah dipersetujui ketiga-tiga parti.

Ini amat mengelirukan. Sekiranya perkara ini telah diputus, kenapa tiga pemimpin tersebut perlu kembali ke parti sendiri untuk perbincangan, seperti yang dinyatakan dalam kenyataan asal?

Apakah Pakatan sudah jadi macam BN, di mana Umno/PKR yang membuat keputusan, dan parti-parti lain akur sahaja?

Anwar pecahbelahkan PAS?

Dua pemimpin tertinggi PAS, Abdul Hadi dan Nik Abdul Aziz Nik Mat telah mengumumkan sokongan mereka terhadap Khalid.

Memandangkan bahawa Pesuruhanjaya PAS Selangor Iskandar Samad mengambil pendirian yang sama, ketiga-tiga suara yang paling relevan dalam isu ini dalam PAS jelas sependapat. .

Ada beberapa unsur dalam barisan kedua pimpinan PAS yang menyokong PKR dalam isu ini.

Soalnya, apakah akan berlaku jika PKR teruskan usaha mereka untuk gantikan Khalid?

Adakah pihak Anwarista dalam PAS akan cuba memaksa isu ini dalam PAS dan melawan Abdul Hadi dan Nik Aziz secara terbuka?

Sekiranya ini terjadi, krisis ini nampaknya akan mengakibatkan keretakan serius dalam PKR, Pakatan, dan kini, PAS.

Disiplin PAS punca kekuatannya

Mana-mana pemerhati politik Malaysia sedia maklum bahawa PAS mungkin satu-satunya parti di Malaysia yang berasaskan kekuatan institusi (institutional strength).

Sama ada kita setuju atau tidak dengan semua prinsip PAS, jelas ternampak bahawa pegangan parti itu terhadap prinsip tersebut lebih kuat daripada pegangan mereka kepada mana-mana pemimpin atau individu.

Situasinya berbeza jika kita lihat kepada parti-parti lain, terutamanya PKR yang kelihatan semakin terbawa-bawa oleh politik feudal yang berpaksikan individu.

Kekuatan disiplin PAS tidak boleh dinafikan. Sesiapa yang pernah menganjurkan perhimpunan massa di Malaysia sedar bahawa jumlah hadirin lazimnya bergantung kepada arahan dari pimpinan PAS.

Disiplin, keutuhan dan perpaduan parti sudah lama menjadi tunjang PAS.

Bagi ahli PAS, tiada ribut yang cukup teruk sampai disiplin kapal terpaksa diketepikan.

Justeru itu, walaupun demokrasi dalaman dan perkongsian pendapat selalu dibenarkan, jiwa parti adalah berasaskan keyakinan ahli terhadap proses dalaman, struktur dan pemimpin parti.

Sekiranya keyakinan ini runtuh, runtuhlah PAS dan harapan Pakatan untuk menembusi kawasan-kawasan desa yang masih menjadi kubu kuat Umno/BN akan turut runtuh. Maka hilangnya mimpi menawan Putrajaya.

Guan Eng merajuk?

Sejurus selepas pengumuman Abdul Hadi, Lim Guan Eng berkata tidak mustahil Pakatan Rakyat mungkin pecah akibat krisis menteri besar Selangor

Nampaknya, bos DAP sudah lama lebih mementingkan sumber-sumber kuasa (power base) DAP daripada perpaduan Pakatan demi menggantikan BN.

Dengan adanya projek mega seperti terowong bawah laut di Pulau Pinang, mungkin DAP masih mampu teruskan matlamat mereka bersendirian.

Sepanjang krisis hudud di mana PAS akhirnya berkompromi, PAS tidak pernah sekalipun menyatakan kerelaan mereka untuk meninggalkan Pakatan. Nampaknya Lim lebih cepat sanggup meninggalkan semuanya.

PKR dan DAP cukup sedar bahawa mereka tidak boleh menjatuhkan BN tanpa PAS. Kedegilan mereka dalam perkara ini hanya menunjukkan bahawa keutamaan mereka bukan mewujudkan sebuah Malaysia baru, tetapi lebih kepada menjaga kepentingan-kepentingan sendiri.

Lawan BN atau jaga kepentingan sendiri?

Cukup malu untuk kami yang selalu menafikan bahawa Pakatan ini hanya bersekutu demi merebut kuasa (marriage of convenience). Akhirnya nampaknya macam mereka betul, kami yang salah.

Obsesi PKR dengan kuasa, wang dan kepentingan korporat nampaknya lebih berat daripada sebarang kesedaran bahawa rakyat kini melihat institusi yang namanya Pakatan Rakyat ini sebenarnya tidak mampu bersatu.

Salahkah jika rakyat menganggap bahawa mengundi Pakatan akan membawa kepada ketidakstabilan? Kalau jawatan tertinggi pun tidak boleh dipersetujui, bagaimana Pakatan akan mampu mentadbir dengan lancar?

Barisan Alternatif hanya kekal selama enam tahun. Enam tahun selepas pembentukan Pakatan, nampaknya sejarah berulang.

Sukar nak bayangkan sama ada rakyat akan yakin kepada eksperimen ini kalau runtuh sekali lagi. Keruntuhan itu semakin nyata, sekiranya Anwar dan PKR tidak mengubah hala.

Kalau begitu, projek menggantikan BN akan ditangguhkan berdekad-dekad lagi - semua kerana manusia yang gagal menjadi perdana menteri Malaysia berdegil mahu menjadikan isterinya menteri besar Selangor.


NATHANIEL TAN mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua, termasuk Anwar dan penyokongnya. Maaf zahir dan batin.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS