Isu penyelesaian hutang Tan Sri Khalid Ibrahim dengan Bank Islam dijadikan alasan utama oleh PKR bagi meyakinkan rakannya dalam Pakatan Rakyat untuk menukar menteri besar Selangor itu.
Dalam penjelasan 91 halaman kepada PAS dengan salinan kepada DAP, PKR antaranya memaklumkan terdapat "keraguan munasabah" dalam isu penyelesaian hutang RM59.5 juta itu.
Dokumen itu membangkitkan bagaimana rundingan penyelesaian tuntutan hutang luar mahkamah dipercepat selepas PKR mengumumkan Langkah Kajang pada 28 Januari lalu.
Dalam bentuk kronologi, dokumen itu juga memperincikan kes itu bermula keputusan mahkamah dan persoalan integritinya selepas pelupusan hutangnya secara mengejut.
PKR mempertikaikan penyelesaian kes itu walaupun peguam Bank Islam percaya mereka mempunyai hujah kukuh untuk memenangi kes.
Dibangkitkan juga persoalan berhubung:
- Rundingan Bank Islam-Khalid di luar mahkamah yang menyebabkan saman tuntutan hutang terhadap Khalid digugurkan dibuat tanpa pengetahuan peguam Bank Islam yang maklum di saat-saat akhir pada Februari 2014.
- Keengganan Khalid berterus terang mengenai pelupusan hutangnya secara mengejut walaupun beberapa kali diarahkan parti membuat penjelasan.
- Persoalan bagaimana kerajaan pusat berjaya mendapat kelulusan untuk projek loji rawatan air berbilion ringgit Langat 2 ketika sedangkan negeri gagal mengambil alih sepenuhnya konsesi air.
PKR bagaimanapun berkata, prestasi kepimpinan Khalid semasa penggal pertamanya baik dan memuaskan.
Khalid sebelum ini mencabar Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika dakwaan "keraguan integriti" terhadapnya benar.
Khalid menafikan tuduhan yang dilemparkan terhadapnya sekali gus memandang serius dakwaan berhubung isu penyelesaian hutang beliau dengan Bank Islam itu.