Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berpendapat penjelasan demi penjelasan Dr Ahmad Zuhdi Marzuki tentang mesej kumpulan WhatsApp ahli jawatankuasa PAS Pusat yang bocor, memburukkan keadaan dan memberi nama buruk kepada PAS.

Menurutnya, Zuhdi terlalu sibuk mempertahankan dirinya sehingga memberikan gambaran bahawa "lakaran senario" yang disebutnya itu seolah-olah datang dari PAS.

Ia sekaligus memburukkan nama PAS di mata orang ramai, kata Khalid.

"Imej PAS tercalar dan orang bukan Islam akan hilang kepercayaan pada PAS.

"Dia terlalu sibuk mempertahankan dirinya, mencuci tangan dan secara tak langsung memburukkan nama PAS.

"Senario lakaran Zuhdi adalah imaginasinya sendiri tanpa ada campur tangan dari mana-mana ahli WhatsApp group," kata Khalid.

Menurutnya, penjelasan Zuhdi yang mendakwa lakaran senario PAS meninggalkan Pakatan Rakyat itu seolah-olah memberikan gambaran ia datang dari AJK PAS pusat.

Tiada yang setuju

Sedangkan tegas Khalid, tiada seorang pun selain Zuhdi daripada 47 orang dalam kumpulan WhatsApp itu bersetuju dengan lakaran senario Zuhdi.

"Dia tak kata (pandangan itu dari) dalam WhatsApp group tapi dia kata dari dalam PAS.

"Tapi kenapa dia bagi impression (tanggapan) begitu (datang dari AJK PAS Pusat)?" kata Khalid dalam satu sidang media hari ini.

Khalid juga mempertikaikan kenyataan Zuhdi yang berhujah bahawa penyebaran mesej bocor itu dibuat untuk memburukkan nama baiknya.

"Sebahagian hujah mempertahankan Zuhdi akhirnya menimbulkan syak wasangka terhadap PAS.

"Bagi saya Zuhdi bukan sasarannya, kerana kalau Zuhdi sasarannya, print screen (rakaman mesej) itu akan muncul di kalangan pimpinan PAS sahaja.

Bukan saluran rasmi

"Rakyat jelata tak kenal pun siapa Zuhdi dan rakyat tertanya-tanya siapa Zuhdi masa print screen itu mula disebarkan," kata Khalid.

Tegasnya, sasaran sebenar mesej yang dibocorkan itu adalah PAS sendiri dan kumpulan WhatsApp itu juga bukan saluran perbincangan rasmi parti.

Ini kerana, katanya, presiden dan timbalan presiden, setiausaha agung serta seorang naib presiden PAS tiada dalam kumpulan itu.

"WhatsApp group ini bukan satu medan rasmi untuk bermesyuarat, jauh lagi untuk perbincangan strategi.

"Ia sekadar untuk memaklumkan program ahli grup, serta maklumat berhubung isu semasa seperti rakan-rakan sakit, meninggal dan sebagainya.

"Setakat ini WhatsApp group tersebut tak pernah diguna untuk buat keputusan pimpinan utama parti," kata Khalid.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS