DAP menyokong pertukaran menteri besar Selangor kerana tindakan Tan Sri Khalid Ibrahim dalam isu melibatkan hal ehwal Islam menyerlahkan jiwanya sebagai “nasionalisme Umno”, kata Tan Sri Zainuddin Maidin.
Zainuddin berkata, Khalid berhati-hati dalam perkara menyentuh kesucian dan kedudukan Islam sebagai agama rasmi, sultan sebagai ketua agama dan kuasa majlis dan institusi agama negeri.
“Hal ini terserlah dalam masalah bible, hudud dan lain-lain. Jiwa Khalid masih nasionalisme Umno,” kata bekas menteri penerangan itu yang lebih dikenali sebagai Zam.
Menulis dalam blognya, bekas ketua pengarang Kumpulan Utusan Melayu itu juga mengaitkan kemarahan DAP terhadap Khalid dengan dakwaan budaya rasuah masyarakat Cina.
“Jawapannya mudah sahaja dan tidak perlu analisis mendalam. Pemberi rasuah yang paling besar di negara ini ialah orang Cina.
“Budaya mereka baik dalam MCA atau DAP dan pada umumnya sama sahaja. Orang Melayu tidak banyak wang untuk merasuah dan malu untuk melakukan sesama sebangsa,” katanya.
Menurut Zainuddin lagi, terdapat pihak yang mengharapkan "kemudahan" yang dinikmati selama ini oleh kroni Umno, MCA, MIC dan lain-lain parti komponen BN akan juga dirasakan mereka.
Bagaimanapun, tambahnya, Khalid ternyata seorang profesional yang sukar dirasuah dan dipergunakan dan ia amat mengecewakan mereka.