Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Nahas MH17, Kabinet batal rumah terbuka
Diterbitkan:  Jul 24, 2014 6:18 PM
Dikemaskini: 10:21 AM

Majlis Rumah Terbuka Anggota Jemaah Menteri sempena Aidilfitri 2014 dibatalkan bagi menghormati mereka yang terkorban dalam nahas pesawat MH17.

    

Majlis itu pada asalnya dijadual berlangsung di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya.

    

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata Kabinet bersetuju dengan keputusan itu dalam satu mesyuarat yang diadakan hari ini.

    

Kabinet juga bersetuju membatalkan majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia 2014 anjuran Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan yang dijadual diadakan di Rembau, Negeri Sembilan.

    

Menurut kenyataan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Jemaah Menteri akan menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada pagi 1 Syawal, sebelum menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Negara.

    

Pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH17 yang membawa 298 penumpang, termasuk 43 warga Malaysia, terhempas dipercayai ditembak di Wilayah Donetsk di timur Ukraine pada Khamis lepas.  

    

"Walaupun negara masih bersedih di atas tragedi ini, umat Islam masih disyariatkan untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri setelah sebulan mengerjakan ibadat berpuasa di bulan Ramadan dengan sempurna dan kembali ke jalan fitrah Ilahi.

    

"Wajarlah rakyat berbilang kaum meneruskan tradisi ziarah-menziarahi demi mengeratkan perhubungan dan perpaduan sesama kita," kata kenyataan itu.

    

Justeru, majlis sambutan Aidilfitri tahun ini masih boleh diadakan tetapi dengan kesederhanaan dan penuh tertib.

    

Ia termasuk majlis sambutan oleh anggota Jemaah Menteri, para anggota Parlimen serta Dewan Undangan Negeri bersama rakyat di kawasan masing-masing.

    

Selain itu, sambutan di peringkat kementerian juga boleh diadakan untuk mengeratkan silaturahim warga kerja masing-masing tanpa melibatkan jemputan luar, menurut kenyataan itu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS