Felda mengesahkan mana-mana peneroka yang menyaman agensi tanah itu tidak akan mendapat dividen akhir Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH) daripada Tabung Amanah Peneroka dan wang saguhati hari raya.
Seorang jurucakap Jabatan Komunikasi Korporat Felda berkata keputusan itu dibuat "bagi menjaga kepentingan peneroka lain yang menyumbang kepada perkembangan Felda".
Katanya, tindakan yang sama dikenakan juga terhadap peneroka yang menjual tanah tanpa kebenaran Felda.
"Ahli Lembaga Felda sudah putuskan siapa yang memfailkan saman kepada Felda, jual tanah tanpa kebenaran Felda, tak dapat langsung (dividen dan wang saguhati)," katanya.
Bercakap kepada Malaysiakini petang ini, jurucakap itu berkata keputusan itu dibuat oleh ahli Lembaga Pengarah Felda pada bulan ini.
Beliau mengulas laporan portal Harakahdaily berhubung tindakan kira-kira 50 peneroka Felda Gugusan Bera dan Rompin yang membuat laporan polis kerana mendakwa dinafikan wang dividen FGV dan saguhati hari raya yang berjumlah hampir RM1,000.
Jurucakap itu bagaimanapun tidak mahu mengulas lanjut apabila ditanya mengenai jumlah peneroka yang menyaman Felda.
Laporan Harakahdaily itu menyebut mereka adalah sebahagian lebih 1,000 peneroka seluruh negara yang tidak dibayar meskipun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dilapor berkata seramai 112,635 orang peneroka layak menerimanya.
Najib dilapor mengumumkan pembayaran dividen akhir FGVH kepada semua 112,635 peneroka Felda dengan jumlah RM72.9 juta (RM647.78 seorang).
Manakala peruntukan duit raya pula dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM30.5 juta iaitu RM300 bagi setiap keluarga.
Sementara itu, jurucakap itu berkata peneroka yang melanggar peraturan Felda antaranya tidak membuat tanaman semula atau tidak menghantar hasil kepada Felda, maka peneroka hanya mendapat separuh daripada jumlah dividen akhir dan wang sagu hati itu.