Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Mohd Shamsuddin Lias berpendapat pemilihan Presiden PKR Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar Selangor yang baru, hanya untuk memenuhi tuntutan 'nafsu politik' suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tambahnya, tindakan mengantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim itu tidak menyelesaikan kemelut perebutan kuasa yang berlarutan dalam parti itu, lapor Berita Harian hari ini.
“Dakwaan Anwar bahawa isterinya dianggap sebagai pemimpin yang paling sesuai untuk membawa kestabilan dan sokongan rakyat Selangor kepada Pakatan Rakyat, tidak lebih hanya untuk kepentingan dirinya.
“Saya pelik dengan Anwar ini kerana sebelum ini beliau begitu bersungguh-sungguh mengangkat (Abdul) Khalid yang dianggap sebagai tokoh paling hebat memimpin Selangor.
“Sekarang ini, lain pula jadinya apabila dia yang bersungguh-sungguh singkirkan Khalid,” beliau dipetik sebagai berkata oleh harian itu.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pengumuman Anwar bahawa Wan Azizah akan mengantikan Khalid Ibrahim sebagai menteri besar.
DAP hormat keputusan Anwar
Sementara itu, DAP Selangor pula menghormati keputusan yang dibuat Anwar bahkan menyokong perlantikan itu.
Bagaimanapun, timbalan setiausahanya Ng Suee Lim berkata DAP menyerahkan sepenuhnya perkara itu kepada kepimpinan parti untuk membuat keputusan, lapor Sinar Harian.
“Kita sokong segala keputusan yang akan dicapai, Pakatan dijangka mengadakan perjumpaan dengan kepimpinan tertinggi hari ini bagi membincangkan isu itu.
“Wan Azizah mampu urus tadbir negeri dengan baik dan kami tetap beri sokongan,” katanya.