Keputusan Malaysia untuk berunding dengan puak pemisah di timur Ukraine menerima reaksi yang bercampur, tetapi bagi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, ia adalah sesuatu yang perlu dilakukan.
"Ini adalah keadaan yang luar biasa yang memerlukan langkah-langkah yang luar biasa.
"Terdapat risiko yang terlibat dalam melaksanakan perjanjian ini. Tetapi kita merasa berkewajipan untuk meneroka semua peluang untuk memecahkan kebuntuan, dan untuk menjamin jasad mangsa dan kotak hitam dibawa pulang.
"Selepas bertemu keluarga (mangsa), saya berasa kita bertanggungjawab kepada mereka untuk bertindak," katanya dalam satu kenyataan hari ini. [Baca berita penuh]
Sementara itu, Bernama melaporkan perdana menteri menyambut baik kemajuan yang dicapai dalam perjanjian yang diatur Malaysia bersama pemimpin pemberontak berhubung insiden pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH17, yang terhempas di timur Ukraine pada Khamis.
Dalam satu kenyataan itu, Najib turut memuji pasukan Malaysia berikutan usaha mereka dalam memastikan jasad mangsa dibawa pulang dan kotak hitam dijaga dengan selamat.
"Malam semalam, saya mencapai persetujuan dengan (pemimpin yang menguasai kawasan nahas) Alexander Borodai untuk menamatkan kebuntuan berhubung kawasan nahas MH17. Perjanjian kami bersandarkan kepada tiga syarat, jasad mereka yang terkoban dihantar pulang; penyerahan kotak hitam; dan akses penuh ke kawasan nahas supaya penyiasatan dapat dimulakan.
"Saya gembira untuk mengesahkan bahawa dua syarat pertama telahpun dipenuhi.Keretapi membawa jasad mangsa yang terkorban telah tiba di Kharkhiv, dan urusan sedang dibuat untuk memindahkan mereka ke Amsterdam," katanya.
Najib berkata kotak hitam itu, yang berkeadaan baik, akan berada dalam jagaan Malaysia pada masa pasukan penyiasatan antarabangsa sedang ditubuhkan secara rasmi.
"Pada ketika itu, kami akan menyerahkan kotak hitam itu kepada pasukan penyiasatan antarabangsa untuk menjalankan analisis selanjutnya," katanya.
Najib berkata Malaysia memohon kerjasama ini diteruskan dan pasukan penyiasatan dibenarkan sepenuh akses ke kawasan yang dipersetujui.
"Saya berasa lega kerana kita berjaya melepasi halangan untuk membolehkan kita terus mara.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan Malaysia di lapangan, yang bekerja keras untuk menyokong operasi ini. Berkat usaha mereka, kita semakin hampir untuk mengetahu apa yang sebenarnya berlaku kepada pesawat ini, memenuhi tanggungjawab bersama kita terhadap mereka yang kehilangan nyawa," katanya.