Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Wanita dalam video buli didenda RM5,000
Diterbitkan:  Jul 22, 2014 12:58 PM
Dikemaskini: 7:09 AM

Wanita yang merosakkan kereta seorang lelaki warga emas yang melanggar keretanya minggu lepas, didenda RM5,000 dan diperintah

melakukan khidmat masyarakat selama 240 jam oleh Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini.

     

Hakim Datuk Zainal Abidin Kamarudin menjatuhkan hukuman itu selepas Siti Fairrah Ashykin Kamaruddin, 30, atau dikenali sebagai Kiki mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan kerosakan terhadap kereta milik Sim Siak Hong, 61, di hadapan Pusat Transformasi Bandar (UTC), dekat sini, pada 14 Julai lalu.

Kiki didakwa melakukan perbuatan tersebut dengan cara mengetuk bonet hadapan, bonet atas dan cermin hadapan kereta warga emas itu hingga menyebabkan kerugian berjumlah RM500.

    

Dia didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu melakukan perbuatan khianat yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, dengan denda atau kedua-duanya.

    

Hakim Zainal Abidin dalam penghakimannya berkata hukuman yang dijatuhkan terhadap Kiki adalah setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.

Beliau juga menasihatkan Kiki agar menginsafi perbuatan yang dilakukan dan berharap Kiki menjadi seorang wanita yang lebih bersabar dalam menghadapi dugaan hidup.

    

Terdahulu Kiki yang merupakan Pengarah Eksekutif Rangkaian Kerja Kahwin dalam nada sebak merayu agar pihak mahkamah dapat meringankan hukuman terhadapnya dengan alasan dia sudah insaf dan menyesali perbuatan yang dilakukan terhadap warga emas itu.

    

"Saya juga telah memohon maaf kepada 'Uncle' (mangsa) dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan yang telah dilakukan pada masa depan," katanya dengan linangan air mata.

    

Kiki yang hadir di mahkamah bersama-sama ibu dan bapanya kemudian membayar denda itu

    

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Farahah Mohd Nazari manakala Kiki diwakili peguam Rosli Yusoff.

   

- Bernama

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS