Seorang pakar penerbangan mendakwa pesawat malang MH17 membuat lencongan sejauh 482 kilometer dari laluan lazim dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.
Laporan The Telegraph menyebut, Robert Mark, seorang juruterbang kapal komersial menyebut, kebanyakan pesawat MAS yang membuat penerbangan di antara dua destinasi tersebut mengikuti laluan lebih ke selatan dari laluan MH17.
"Saya hanya boleh beritahu anda sebagai juruterbang komersial bahawa, jika laluan kami ditetapkan sedemikian, melihat pada apa yang berlaku di sempadan Ukraine dan Rusia sejak berbulan lalu, saya tidak akan menerima laluan tersebut.
“Saya melihat dalam sistem FlightAware, yang kita semua gunakan pada hari ini, untuk melihat di mana pesawat ini bermula dan di mana jejak mereka, dan saya melihat kembali penerbangan MH17 sejak dua minggu lalu, dan juga penerbangan ini.
"Kesemua penerbangan yang dijejak sangat-sangat jauh di utara di sebelah Ukraine berbanding penerbangan lain...
“Ada versi (laluan penerbangan) MH17 yang menunjukkan ia terbang lebih 300 batu ke selatan berbanding laluan ini,” katanya.
Mark juga merupakan seorang penyunting di majalah Aviation International News Safety.
The Telegraph menyebut, rekod penerbangan MH17 di sistem FlightAware seolah-olah menyokong dakwaan juruterbang tersebut.
Bagaimanapun, semakan Malaysiakini ke atas data sama di FlightAware dan Flightradar24 mendakwat pesawat MH17 membuat penerbangan merentasi Ukraine sebanyak 14 kali sejak dua minggu lalu, dan melalui kawasan berhampiran bandar Donetsk dalam setiap penerbangan.
Lencongan paling besar dilakukan MH17 adalah pada 13 Julai, sejauh kira-kira 200 kilometer, namun ia melibatkan kawasan yang sebahagian besarnya tidak terjejas dengan konflik antara Ukraine dan pemisah pro-Rusia.
Penerbangan tersebut pada 13 Julai turut melalui Donetsk yang dikawal oleh kumpulan pemisah Republik Rakyat Donetsk.
Sistem FlightAware dan Flightradar24 memperolehi data dari sumber siaran radio awam sama yang memberi lokasi GPS dan data penerbangan lain dari pesawat itu sendiri, dipanggil Automatic Dependent Surveillance-Broadcast (ADS-B).
Ia seterusnya dikesan oleh alat radio di kawasan berdekatan dan disampaikan ke laman web secara langsung.
Bagaimanapun, pakar cuaca SNN Chad Myers menimbulkan spekulasi bahawa penerbangan MH17 mungkin mengubah haluan atas faktor cuaca tertentu.
Terdahulu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata pesawat membawa 298 orang penumpang dan anak kapal itu mengikuti laluan yang disahkan selamat oleh pihak berkuasa penerbangan.