Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bapa: Mastura salam dan minta maaf pada saya
Diterbitkan:  Jul 18, 2014 3:00 PM
Dikemaskini: 7:17 AM

"Sebelum Mastura pergi kerja dia salam dan minta maaf kepada saya," ungkap Mustafa Abdul Samad, bapa pramugari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang terhempas di Ukraine, semalam.

    

Mustafa, 83, berkata kali terakhir beliau berjumpa Mastura, 40, pada petang Rabu lepas sebelum mangsa pergi bekerja.

    

"Saya tengok dia macam biasa sahaja. Saya mengetahui kejadian menyedihkan ini pada 8 pagi tadi menerusi jiran yang mendapat maklumat melalui Internet," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sentosa, Paroi dekat Seremban hari ini.

    

Katanya anak bongsu daripada tujuh beradik itu memang mengambil berat dirinya dan anak tunggalnya, Muhriz Marzaidi, 10, yang tinggal

bersamanya di Kampung Sentosa.

    

Katanya Mastura sering menghubunginya setiap kali bertugas di luar negara, termasuk kali ini ke Amsterdam.

    

"Memang itulah sifat dia, anak yang baik dan tidak lupa menghubungi keluarga setiap kali bertugas di luar negara," kata Mustafa.

    

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS), Mohd Ridzuan Abdullah, yang tinggal

berjiran dengan pembantu juruterbang pesawat MH17, Choo Jin Leong Eugene, 45, yang turut terkorban dalam nahas itu menyifatkan mendiang sebagai seorang jiran yang baik dan peramah.

    

Mohd Ridzuan, 45, yang kebetulan tinggal tidak jauh dari kediaman mendiang di sebuah perumahan elit di Seremban 2, berkata Eugene

sering bertegur sapa dengan jiran tanpa mengira bangsa.

    

"Beliau seorang yang baik dan sering dilihat beramah mesra dengan penduduk di kawasan ini tanpa mengira bangsa. Kali terakhir saya

bertemu dengannya ialah pada Sabtu lepas, namun tidak menyangka perkara sebegini akan berlaku," katanya ketika ditemui.

    

Beliau berkata dia melihat keluarga mangsa amat sedih dengan kejadian itu dan rumah itu menjadi lokasi saudara-mara berkumpul sejak pukul 5 pagi tadi.

    

Cubaan media untuk menemu bual keluarganya tidak berhasil kerana tidak dibenarkan masuk ke perumahan itu oleh pihak kawalan

keselamatan yang mendakwa menerima arahan pihak atasan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS