Akhbar Ukraine, The Kyiv Post melaporkan satu panggilan telefon di antara anggota pemisah dan pegawai risikan tentera Rusia berhubung pesawat yang didakwa ditembak jatuh dari ruang udara Ukraine.
Rakaman tersebut dikeluarkan oleh agensi keselamatan Ukraine, SBU.
Menurut rakaman dalam bahasa tempatan itu, anggota pemisah berkenaan memberitahu pegawai risikan Rusia bahawa mereka berjaya menembak jatuh sebuah pesawat.
Ia juga menunjukkan, militan berkenaan memberitahu pihak risikan Rusia bahawa mereka kemudiannya mendapati ia adalah sebuah pesawat penumpang.
Menurut laporan itu, salah satu panggilan itu dibuat kira-kira 20 minit selepas MH17 terhempas. Panggilan itu dibuat oleh Igor Bezler, yang didakwa SBU sebagai seorang pegawai perisikan tentera Rusia dan komander utama Republik Rakyat Donetsk.
Portal berita itu juga menerbitkan sebuah transkrip penuh perbualan telefon, yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris.
Sementara itu, Reuters memetik kenyataan pemimpin operasi bencana Ukraine yang berkata, operasi mencari dan menyelamat dihalang oleh kumpulan "pengganas bersenjata".
Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa pula menyebut, ruang udara yang dilalui MH17 tidak dikelaskan sebagai zon larangan terbang.
Manakala New York Times melaporkan, keadaan fizikal mayat yang ditemui masih utuh. Ini menunjukkan pesawat itu mungkin membuat pendaratan terkawal.