Siti Fairrah Asyikin Kamaruddin mengharungi hari yang penuh warna-warni hari ini.
Pada pagi ini, beliau menjadi tumpuan di sekurang-kurangnya empat stesen radio dan seterusnya di sebelah petang ditahan polis untuk siasatan.
Ketua polis daerah Kuantan Abdul Aziz Saleh berkata wanita yang tersebut ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 427 dan 506 Kanun Keseksaan atas ugutan jenayah.
Laporan Harian Metro menyebut, Siti Fairrah Asyikin, yang popular dengan nama jolokan Kiki, ditahan untuk tempoh yang diperlukan bagi siasatan.
Pagi ini beliau ditemubual oleh stesen radio Melayu Era FM, stesen radio Cina My FM serta dua stesen radio Inggeris Hitz dan Fly FM.
Dalam panggilan telefon Fly FM kepada Kiki, wanita 30 tahun itu mengakui beliau tidak menjangkakan insiden itu akan menjadi tersebar luar.
Selasa lalu sebuah video dikesan menunjukkan Kiki memaki hamun seorang pesara Sim Siak Hong, 68, dan memukul keretanya dengan kunci stereng selepas kenderaan mereka bertembung.
"Semuanya telah selesai bila saya buat laporan polis. Uncle (Sim) pun kata dia tak akan buat laporan polis atas apa yang saya buat".
K iki turut mengakui insiden itu adalah "kesilapan paling besar dalam hidupnya" dan menjelaskan beliau terlalu emosional ketika itu.
Beliau berkata salah satu punca kekecewaannya ialah kereta itu merupakan hadiah hari jadinya kepada diri sendiri.
"Ia ada nilai sentimental dan menunjukkan bagaimana saya bekerja keras untuk membina syarikat saya. Sebab itu saya sangat marah ketika itu," kata beliau.