Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Wanita dalam video buli kesal, mohon maaf
Diterbitkan:  Jul 16, 2014 6:34 PM
Dikemaskini: 3:15 PM

Seorang wanita yang dirakam dalam satu video menunjukkan kejadian buli jalan raya memohon maaf ke atas seorang warga emas atas tindakannya itu.

Siti Fairrah Asyikin Kamaruddin berkata beliau akan menemui pesara kerajaan itu dalam masa terdekat untuk memohon maaf.

Dalam permohonan maafnya melalui TV3 malam ini, wanita tersebut yang juga dikenali dengan nama Kiki turut memberitahu Star Online bahawa beliau memohon maaf kepada lelaki tersebut sebaik selepas kejadian itu.

"Saya tidak dapat berfikir pada waktu itu. Ia berlaku sekelip mata. Ia satu kesalahan besar di pihak saya.

“Selepas kejadian itu, kami perlu ke balai polis di Kuantan dan menyelesaikan perkara itu dengan baik. Saya bertenang dan terus memohon maaf kepada lelaki tersebut.

“Saya turut bertemu isterinya dan memeluknya. Lelaki itu menerima permohonan maaf saya dan mengingatkan saya agar tidak mengulanginya,” katanya seperti dipetik dalam laporan tersebut.

Beliau bagaimanapun menafikan mengeluarkan kenyataan permohonan maaf di akaun Facebook, dan mendakwa telah memadamkan akaunnya pada hari Selasa.

Beliau mendakwa, akaun tersebut telah digodam oleh pihak tertentu.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan polis telah memanggil wanita yang didakwa membuli seorang warga emas menggunakan batang kunci stereng setelah kereta mereka bergeselan dalam satu kemalangan kecil Isnin lalu.  

    

Turut dipanggil untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan bagi membantu siasatan ialah warga emas tersebut.

    

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Abdul Aziz Salleh berkata, selain wanita berkenaan, warga emas yang menjadi mangsa buli dalam kejadian itu juga telah memberi keterangan hari ini.  

    

"Polis memandang serius perkara ini dan sedang menjalankan siasatan terperinci mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah," katanya.

    

Beliau bercakap kepada pemberita selepas taklimat pencegahan jenayah melibatkan pasaraya, bank, kedai emas, pajak gadai, kedai serbaneka 24 jam, stesen minyak dan syarikat keselamatan di Kuantan.

    

Mengulas lanjut tentang kes itu, Abdul Aziz berkata, pada awalnya kejadian ini dilaporkan di cawangan trafik namun polis akan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan rakaman yang telah dimuat naik melalui laman sosial sejak semalam.

    

"Polis akan ambil tindakan sewajarnya walaupun warga emas tersebut difahamkan telah memaafkan perbuatan wanita berkenaan.  

"Kita tidak mahu rakyat Malaysia jadi seperti ini, tidak berdisiplin di jalan raya dan menjadi pembuli jalanan.

    

"Perkara seperti ini tidak wajar dijadikan budaya dalam masyarakat walaupun ini kes terpencil tetapi polis tetap anggap ia serius," katanya.  

    

Dalam masa yang sama, katanya polis juga sudah mengeluarkan saman trafik kepada warga emas terbabit di atas kesalahannya itu.

    

Sementara itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak memberi komen negatif mengenai insiden ini di laman sosial.

    

erahkan kepada pihak polis untuk menyiasatnya dan kita akan ambil tindakan selepas siasatan. Orang ramai tak perlu nak komen lebih-lebih," katanya.

    

Kejadian itu berlaku kira-kira 1.10 petang di kawasan tempat letak kereta Pusat Transformasi Bandar (UTC).  

    

Seorang pesara kerajaan berusia 68 tahun yang memandu kereta jenis Toyota dilaporkan telah terlanggar bahagian kiri belakang sebuah kereta jenis Peugeot 208 yang dipandu oleh seorang wanita.

    

Kemalangan kecil itu menyebabkan wanita berusia 30 tahun itu dari Bandar Jengka naik berang dan bertindak merampas batang kunci stereng dari kereta warga emas sebelum mengetuk keretanya.

    

Difahamkan wanita terbabit turut mencekak baju lelaki warga emas itu dan merampas kunci keretanya walaupun kereta wanita itu hanya calar di bahagian bumper.

    

Kemalangan itu dirakam oleh orang awam yang berada di tempat kejadian dan dimuat naik di beberapa laman sosial sehingga video berdurasi 2.33 tersebar luas.   

    

Dalam pada itu, warga emas berkenaan, Sim Siak Heong, 68, dari Jalan Kubang Buaya berkata beliau sedia memaafkan wanita itu dan tidak bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang.

    

ekas pembantu perubatan itu berkata, beliau telah berfikir panjang dan berhasrat untuk melupakan kejadian berkenaan walaupun pihak polis mencadangkan supaya beliau membuat laporan polis.

    

"Lagipun, wanita itu juga telah berkali-kali meminta maaf, jadi saya tidak ingin memanjangkannya. Sekiranya saya membuat laporan polis, saya tidak akan memperoleh sebarang faedah.

    

"Jika saya berbuat demikian, saya difahamkan wanita itu berisiko dipenjarakan akibat perbuatannya, dia masih muda dan mungkin tidak memikirkan kesan perbuatannya tempoh hari,” katanya kepada pemberita.   

    

enceritakan kembali kejadian itu, Sim berkata ketika itu beliau yang bersama isterinya dalam kereta itu, sedang memandu keluar dari kawasan parkir sebelum terlanggar kereta yang dipandu wanita berkenaan.

    

"Wanita itu kemudiannya keluar dari keretanya dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap saya. Dia mengambil batang pengunci stereng dalam kereta saya.  

    

"Dia kemudian bertindak memukul tingkap dan bahagian hadapan kereta yang dihadiahkan oleh anak saya itu selain mengarahkan saya membayar wang tunai sebanyak RM2,000.

    

"Saya cakap saya tidak ada duit, setakat RM200 bolehlah, namun dia masih tidak berpuas hati.

    

"Akhirnya kami bersama-sama membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Trafik Kuantan,” katanya.

    

Kejadian itu yang sempat dirakam oleh orang awam yang berada di kawasan kejadian kemudian telah dimuat naik di laman sosial sehingga tersebar luas.   

    

Video berdurasi 2.33 minit itu turut mendapat perhatian Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar yang menyatakan polis akan mengambil tindakan berhubung kejadian buli itu.   


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS