Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis akan menyiasat wanita yang dirakam membuli seorang lelaki tua selepas satu kemalangan jalan raya dan videonya tersebar meluas di Internet sejak semalam.
"Kita akan siasat dia di bawah (kes) buli jalan raya.
"Saya pun baru tadi tengok footage (rakaman) itu.
"Garang sungguh dia, ketuk sana ketuk sini," katanya merujuk kepada rakaman itu yang memaparkan perempuan tersebut mengetuk kereta lelaki tua yang didakwa melanggar keretanya.
Menurut Khalid, wanita dalan video itu sepatutnya membuat laporan polis dan bukan mengancam lelaki warga emas tersebut.
"Kalau betul berlaku kemalangan, buatlah laporan janganlah ambil tindakan.
"Tindakannya itu dah dikira sebagai pembuli jalan raya dan kita akan ambil tindakan terhadap dia," katanya lagi.
Ditanya sama ada siasatan polis dibuat berdasarkan laporan polis oleh lelaki warga emas itu sendiri, Khalid menjelaskan dalam kes begini, polis bertindak berdasarkan rakaman video itu sendiri yang sudah ditonton polis.
"Dia buat laporan atau tak lapor, kita akan siasat kerana kita sudah tengok video itu," katanya.
Beliau sebelum itu menyampaikan sumbangan kuih raya kepada pegawai-pegawai tertinggi polis untuk diagih-agihkan kepada kira-kira 5,000 orang polis yang akan bertugas sewaktu Hari Raya Aidil Fitri akan datang.