Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Umno Selangor mempersoalkan sikap berdiam diri ulama PAS berhubung cadangan pembinaan pusat judi lumba kuda di Bukit Tagar, Hulu Selangor yang majoriti penduduknya Melayu dan Islam.

Timbalan pengerusinya, Datuk Abdul Shukur Idrus (bawah) berkata pihaknya tidak bersetuju dengan permohonan untuk memindahkan pusat judi itu dari Sungai Besi ke kawasan luar bandar itu.

"Kami terperanjat kerajaan Pakatan (Rakyat) yang ada PAS bersama, parti Islam, di mana (suara) ulama PAS (dalam soal ini)? Bila jadi macam ni tidak ada.

"Dulu kita pernah dengar mereka (PAS) nak tutup kilang arak sebagai bukti memperjuangkan Islam. Apa dah jadi kerajaan negeri Selangor?" katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

Beliau yang juga ADUN Kuang mengulas berhubung permohonan cadangan membina pusat judi kawasan itu, yang kini masih dalam pertimbangan kerajaan negeri.

Malah PAS Selangor turut menyuarakan kebimbangan mengenainya kerana menganggap ia menjadi duri dalam daging kepada pentadbiran di negeri itu dan boleh memecahkan perpaduan Pakatan Rakyat.

Mengulas kebimbangan PAS Selangor itu, Abdul Shukur bagaimanapun sangsi dengan kemampuan PAS untuk membantahnya sedangkan parti lain dalam Pakatan masih belum menyatakan pendirian rasmi mereka.

Sindir PAS

“Takkan PAS setuju, PAS ni kan parti Islam. Saya khuatir, PAS ni boleh ke bertindak sendiri jika DAP dan PKR berpendapat sebaliknya," sindir Abdul Shukur.

"Saya khuatir PAS tak mampu kuasai DAP dan PKR, mampukah PAS? Kalau tak mampu, kita akan buktikan hanya Umno yang mampu memperjuangkan orang Islam,” katanya lagi.

Sementara itu, ADUN Permatang Sulaiman Abdul Razak (kiri) pula bersetuju dengan pendirian PAS yang membantah dengan cadangan itu sekaligus membukti parti itu mampu membezakan antara politik dan keperluan rakyat.

"Pada saya (pendirian PAS membantah) itu betul," katanya sambil menambah bahawa pembangkang DUN Selangor akan membangkitkan isu cadangan pembinaan pusat judi itu dalam sidang akan datang.

Menurutnya, BN Selangor juga akan mengutip tandatangan bantahan penduduk di Hulu Selangor dan menghantar memorandum terhadap cadangan itu jika ia diluluskan.

Bagaimanapun, Sulaiman meluahkan rasa kecewanya sekiranya Pakatan Rakyat meluluskan cadangan yang pernah ditolak oleh BN sewaktu mereka memerintah sebelum ini.

"Takkan Pakatan sokong judi. Sebagai kerajaan bertanggungjawab, wajar tolak dan wajib ditolak (permohonan itu)," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS