Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bung 'tabik' Hitler dengan kemaraan Jerman
Diterbitkan:  Jul 9, 2014 12:21 PM
Dikemaskini: 7:12 AM

Kemaraan pasukan Jerman ke perlawanan akhir Piala Dunia 2014 selepas berpesta gol 7-1 menewaskan tuan rumah Brazil menyaksikan MP Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin mendoakan bekas pemimpin Nazi yang telah mati, Adolf Hitler agar terus "panjang umur".

Tindakan aneh dan canggung itu dilakukan Bung menerusi akaun Twitter beliau pada jam 5.30 pagi ini dan ia mencetuskan pelbagai reaksi daripada pemilik akaun Twitter di Malaysia.

" WELL DONE.. BRAVO... LONG LIVE HITLER... (Tahniah, syabas dan panjang umur buat Hitler)," tulis Bung di akaun Twitter-nya (@mykinabatangan).

Seorang pengguna hanya dikenali sebagai Akmal (@an______) bertanya jika Bung sedang khayal sewaktu membuat kenyataan itu.

"Hidu gam ke subuh-subuh ni?" tulis individu itu kepada Bung.

Namun, Bung membalasnya dengan ungkapan berikut, "Mungkin kamu macam P Ramasammy baru minum TODI".

'P Ramasammy' yang disebut Bung dipercayai merujuk kepada Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, Dr P Ramasamy.

Seorang pengguna dengan nama @mohdhafidh pula menempelak Bung dengan berkata, "Ingat kelakarlah tu".

Namun, Bung mempertahankan tindakannya itu dan mempertikaikan kritikan itu dengan berkata, "Mungkin anda ada masalah akal".

Seorang lagi pengguna Twitter dengan nama @shaike49 menyifatkan tindakan Bung sebagai " low class crazy MP (MP gila kelas rendah)".

Namun, Bung sekali lagi mempertahankan tindakannya dan menyuruh pengkritiknya itu "berambus" ( you can get lost and enjoy with the loser ).

Seorang lagi pengguna dengan nama @hagemerul kelihatan memuji kenyataan awal Bung memberi tabik hormat kepada Hitler.

"Stylo, Datuk," tulisnya membalas tweet Bung.

'Semuanya kerana saya Bung Moktar'

Sebagai reaksi terhadap perkara itu, Bung hari ini memberitahu The Star Online bahawa beliau diserang kerana siapa beliau dan bukannya kerana tweet itu.

“Saya tidak tahu apa yang tak kena dengan orang ramai kadang-kadang.

"Hitler sebahagian sejarah dan Jerman berjuang seperti mana dia berjuang,” beliau dipetik sebagai berkata sambil menambah tweet itu hanya untuk suka-suka.

“Saya fikir orang sekarang harus transformasi mentaliti mereka. Apa saja saya tweet orang serang saya. Mereka tidak menyerang saya kerana Hitler tetapi kerana saya Bung Moktar ( kiri ).”

Bung menjadi anggota parlimen sejak 1999 yang terkenal dengan kontroversi akibat pandangan-pandangan dan kelantangannya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS