Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kerajaan sepatutnya memberi harapan kepada rakyat dan bukannya amaran dan ugutan yang bertujuan untuk menakutkan mereka, kata pensyarah kanan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Dr Maszlee Malik.

Mengulas mengenai amaran Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa peristiwa rusuhan kaum mungkin akan timbul semula, Maszlee ( bawah ) berkata, jika kerajaan kerap memomokkan perkara tersebut, ia akan menjadikan mereka berada dalam ketakutan.

"Bagi pemimpin yang menjadi rujukan kepada rakyat sepatutnya memberikan harapan masa depan yang cerah. Kita perlu titipkan kepada jiwa rakyat untuk lihat satu sudut yang lebih positif.

"Kalau kerap memomokkan mereka dengan memainkan elemen negatif, maka mereka akan takut pada perkara yang tak pasti.

"Rakyat perlu diberikan harapan dan bukan ugutan atau ketakutan. Cukup-cukuplah kita memomokkan rakyat. Kalau hantu tak wujud pun, kita akan kata hantu itu wujud," katanya kepada KiniTV .

Laporan Utusan Malaysia Sabtu lalu menyebut, Muhyiddin memberi amaran peristiwa 13 Mei mungkin timbul sekali lagi jika perlembagaan terus dipersoal.

Muhyiddin memberi amaran tersebut memandangkan “perbalahan kaum ketika ini sudah menjadi kebiasaan apabila satu kaum mengkritik kaum lain”.

Kenyataan Muhyiddin itu disambut dengan nada sinis oleh penasihat DAP Lim Kit Siang yang mempersoalkan sekiranya Muhyiddin mengakui kegagalan BN dalam merangka dasar perpaduan negara.

Bagaimanapun, Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, kenyataan Muhyiddin itu hanya ''peringatan'' supaya Malaysia tidak mengambil mudah tentang perpaduan di dalam negara ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS