Pihak berkuasa New Zealand yang menawarkan "alternatif" untuk membawa pulang seorang diplomat Malaysia yang dituduh terbabit dalam kes serangan seksual sebelum 30 Mei, kata Menteri Luar, Datuk Anifah Aman.
Walaupun pemimpin New Zealand mahu diplomat tersebut, Mohammed Rizalman Ismail, dibicarakan di sana, Anifah berkata pihak berkuasa New Zealand yang membuat tawaran itu.
"Kami sedia untuk memberikan kekebalan diplomatik jika perlu," kata Anifah.
Beliau berkata diplomat itu sedang menjalani ujian psikiatri oleh Kementerian Pertahanan, di mana beliau bertugas.
Jika didapati bersalah, tindakan akan diambil terhadapnya oleh Mahkamah Tentera di Malaysia.
Anifah bagaimanapun tidak dapat memberi butiran jenis hukuman menanti Rizalman jika dia didapati bersalah.
Beliau juga tidak pasti sama ada Rizalman, yang dalam lingkungan usia 30-an dan sudah berkahwin, kini dalam tahanan atau bebas.
"Saya tidak pasti. Proses tersebut adalah dengan Kementerian Pertahanan," kata Anifah.
Lembaga siasatan ditubuhkan
Bercakap dalam satu sidang media petang ini, beliau berkata Kementerian Pertahanan telah menubuhkan lembaga siasatan untuk menyiasat perkara ini.
"Kami mengambil serius perkara ini kerana nama baik Malaysia yang dipertaruhkan," katanya.
Anifah berkata Rizalman telah dibawa balik pada 22 Mei, dengan
diiringi seorang pegawai kanan Kementerian Pertahanan, kira-kira dua minggu selepas dia ditangkap atas tuduhan serangan seksual dengan niat untuk merogol pada 9 Mei.
Anifah berkata tawaran alternatif untuk membawa Rizalman pulang dibuat oleh pegawai dari polis New Zealand dan Timbalan Ketua Protokol Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan semasa bermesyuarat dengan pegawai Malaysia pada 12 Mei.
Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan akan menimbang menghantar Rizalman ke New Zealand jika ada permintaan dibuat.
"Jika mereka minta dan mereka percaya siasatan di sini tidak dilakukan dengan betul, saya akan pertimbangkannya. Tetapi saya tak fikir mereka ada masalah dengan sistem kehakiman Malaysia," katanya.
Anifah berkata Rizalman berkhidmat di Wellington sebagai kakitangan Kementerian Pertahanan sejak setahun yang lalu.