Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
NGO Islam khuatir polemik berpanjangan status M'sia
Diterbitkan:  Jun 30, 2014 11:50 AM
Dikemaskini: 6:32 AM

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) khuatir polemik yang berpanjangan mengenai status Malaysia sama ada negara sekular atau negara Islam, akan semakin memarakkan api permusuhan atara agama.

Presidennya, Amidi Abd Manan berkata, polemik tersebut perlu dihentikan segera jika bertujuan untuk menimbulkan ketegangan hubungan antara agama.

Beliau berkata, kenyataannya itu merujuk kepada pendirian yang dikeluarkan oleh beberapa pertubuhan agama bukan Islam baru-baru ini.

"Polemik sebegini yang dilakukan di media terbuka tidak akan membawa sebarang penyelesaian malah menambahkan kekusutan.

"Perbahasan secara akademik juga telah berlangsung tanpa kesimpulan yang mutlak," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Amidi berkata, warganegara yang matang dan bertanggungjawab, menerima dan menghormati situasi sebegini iaitu wujud lebih daripada satu pandangan berkaitan status negara ini.

"ABIM khuatir jika perkara ini diperpanjangkan dalam keadaan yang terbuka tanpa objektif yang tulus api permusuhan akan semakin marak.

"Perkelahian dan pertembungan secara fizikal akan berlaku bila-bila masa umpama retak menanti belah," tambahnya.

ABIM, tambahnya, memandang serius perkembangan hubungan antara agama di Malaysia yang menurutnya semakin buruk sejak akhir-akhir ini.

"Dan ia semakin malang jika ia didalangi oleh pihak-pihak tertentu yang cuba menangguk di air keruh.

"Pertikaian tanpa sebab yang jelas sebegini akan mengakibatkan pupusnya semangat patriotisme dan mungkin akan berakhir dengan pengkhianatan terhadap negara," tambahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS