Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Anwar minta pimpinan parti hati-hati ulas isu MB
Diterbitkan:  Jun 28, 2014 6:46 PM
Dikemaskini: 10:51 AM

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta pimpinan parti agar berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai jawatan menteri besar Selangor.

Bagaimana pun, kenyataan ringkas dua perenggan Anwar itu tidak pula menyatakan sama ada beliau melarang mana-mana anggota PKR daripada terus bercakap mengenai perkara itu.

"Saya rujuk beberapa kenyataan yang dibuat baru-baru ini berkenaan kedudukan menteri besar Selangor.

"Saya menegaskan bahawa semua ADUN dan pimpinan parti harus menghormati peraturan dan tatasusila berkaitan isu ini," katanya.

Menurutnya lagi, individu yang mengisi jawatan itu ditentukan secara bersama dan bukannya oleh mana-mana individu.

"Kedudukan menteri besar bukan agenda atau milik peribadi tetapi merupakan keputusan bersama KEADILAN (istilah PKR untuk parti itu) dan Pakatan Rakyat, dengan perkenan DYMM Tuanku Sultan," katanya.

Kenyataan Anwar ini dibuat sewaktu Ketua AMK, Shamsul Iskandar Md Akin Rabu lepas mendakwa kini wujud kesepakatan dalam Pakatan Rakyat untuk menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar.

Abdul Khalid dalam reaksinya hari ini bagaimana pun berkata beliau tidak akan melepaskan jawatan menteri besar walaupun kalah dalam pemilihan parti.

Beliau kalah dalam pemilihan sebagai ketua cabang di cabang PKR Kuala Selangor dan mengekori rapat Azmin Ali dalam merebut jawatan timbalan presiden PKR.

Pada masa sama, terdapat beberapa seruan untuk menggantikan Khalid dibuat atas alasan gaya kepimpinannya yang kurang melibatkan parti sekutu lain Pakatan Rakyat dalam membuat keputusan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS