Pertambahan hasil daripada pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) akan membolehkan kerajaan menimbang pelbagai permintaan termasuk kenaikan elaun penjawat awam, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata kerajaan memerlukan hasil tambahan baru bagi memenuhi permintaan itu dan sistem GST yang lebih telus serta efisien dilihat dapat membantu menambah hasil kerajaan.
"Kalau Presiden Cuepacs (Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam) nak minta tambah elaun dan sebagainya, saya sebagai menteri kewangan perlu cari hasil tambahan, barulah boleh saya pertimbangkan.
"Kita tidak boleh pinjam duit daripada institusi kewangan seperti Bank Dunia nak bayar gaji, elaun... tak boleh, resepi itu boleh membawa kepada bencana ekonomi," katanya ketika berucap dalam Perhimpunan Hari Pekerja 2014 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka di Melaka hari ini.
Katanya rasional pelaksanaan GST perlu difahami masyarakat di setiap peringkat sebagai suatu sistem yang mendatangkan kebaikan kepada negara dan rakyat.
Najib turut menegaskan pelaksanaan GST bukan untuk membebankan rakyat sebaliknya untuk memperkukuhkan hasil negara yang kemudian diagihkan kembali kepada rakyat.
"Bukan semua barang akan naik (dan) bukan semua perkhidmatan akan naik (disebabkan GST), banyak barangan perkhidmatan asas akan dikecualikan daripada GST, inilah yang patut kita faham," katanya.
GST diumumkan perdana menteri semasa pembentangan Bajet 2014 di Parlimen Oktober tahun lepas dan akan dilaksanakan mulai 1 April 2015, menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan.
Sistem cukai baharu itu menetapkan enam peratus kadar cukai berbanding cukai jualan dan perkhidmatan berjumlah 16 peratus.
Sementara itu, mengulas Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang dikhuatiri Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) bakal memberi kesan negatif kepada pertumbuhan ekonomi negara dan warga pekerja, Najib berkata negara yang menyertai TPPA mempunyai kelebihan tertentu terutamanya dalam perkara melibatkan pelaburan dan pasaran.
"Malaysia tiada pasaran domestik yang besar seperti Indonesia atau China, kita bergantung kepada pasaran dunia, kalau kita hilang daya saing maka jumlah pelaburan dalam negara akan merudum dan akhirnya tidak berjaya menambah pekerjaan atau menaikkan kualiti pekerjaan ke peringkat lebih tinggi lagi," katanya.
Namun, beliau berjanji akan melakukan yang terbaik untuk rakyat serta tidak akan membuat keputusan sehingga mengorbankan kepentingan negara.
Sementara itu, perdana menteri berkata, kerajaan menetapkan tiga agenda bagi memastikan kebajikan pekerja di negara ini terus terbela
Katanya usaha itu dibuat melalui agenda memantapkan pasaran buruh negara, memperkemas jaringan keselamatan sosial dan mengharmonikan perhubungan perusahaan.
Najib berkata melalui agenda memantapkan pasaran buruh negara, kerajaan memberi tumpuan terhadap aspek berkaitan hak dan kebajikan warga pekerja termasuk penetapan dasar gaji minimum yang telah dikuatkuasakan pada 1 Jan 2013.
"Meskipun menimbulkan pelbagai reaksi, pertumbuhan guna tenaga lebih tinggi dan pemberhentian pekerja yang lebih rendah telah menggambarkan bahawa kebanyakan syarikat berupaya membuat penyesuaian dengan dasar gaji minimum," katanya.
Najib berkata berdasarkan tinjauan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia, gaji purata sektor swasta naik 6.6 peratus pada tahun lepas berbanding enam peratus pada tahun sebelumnya.
"Secara puratanya pekerja kumpulan eksekutif mencatat peratusan gaji sebanyak 6.3 peratus, kekal sepertimana tahun 2012 manakala pekerja bukan eksekutif mencatat kenaikan 6.7 peratus pada tahun 2013 berbanding tahun sebelumnya iaitu 5.8 peratus, sejajar dengan keputusan kerajaan memperkenalkan dasar gaji minimum," katanya.
Najib berkata melalui agenda memperkemas jaringan keselamatan sosial, ia melibatkan kajian dan semakan semula akta-akta perburuhan secara holistik dengan semua cadangan penambahbaikan dibincang berasaskan semangat tripartisme sehingga suatu persetujuan dapat dicapai oleh semua pihak.
"Suatu sistem perundangan perburuhan yang moden perlulah diwujudkan supaya dapat menjamin perlindungan keselamatan sosial setiap golongan pekerja dan dalam masa sama memberi ruang serta keanjalan yang diperlukan industri untuk berkembang," katanya.
Najib berkata agenda mengharmonikan perhubungan perusahaan pula merupakan prasyarat kepada pewujudan persekitaran mesra perniagaan yang merancakkan pertumbuhan ekonomi negara.
Katanya kesatuan-kesatuan sekerja perlu terus bekerjasama erat dengan pihak majikan bagi mengharmonikan perusahaan di negara ini.
Dalam pada itu, bagi melahirkan pekerja berinovasi menuju negara maju, Najib menggariskan tiga lagi prinsip iaitu budaya kreativiti dan inovasi; nilai tambah dan kompetensi serta permuafakatan kerja tidak dalam silo atau lohong masing-masing sebagai tambahan kepada lima prinsip yang diumumkannya pada Hari Pekerja Penjawat Awam di Kedah pada 1 Mei lepas.
Lima prinsip berkenaan ialah berilmu; kebolehpercayaan; budaya amalan kerja terbaik; semangat patriotik dan budaya keberhasilan berteraskan hasil.
Sementara itu, perdana menteri berkata kadar pengangguran negara terus kekal rendah sebanyak 3.1 peratus pada suku pertama tahun ini, suatu kadar yang menunjukkan guna tenaga penuh.
"Prestasi ini adalah jauh lebih baik berbanding negara lain seperti Indonesia sebanyak 5.7 peratus pada Feb 2014 dan Filipina sebanyak 7.5 peratus pada Jan tahun sama," katanya.
Katanya berdasarkan laporan Bank Negara Malaysia, pasaran kerja di negara ini bagi tahun 2013 juga kekal menggalakkan dengan jumlah tenaga kerja meningkat kepada 13.65 juta orang berbanding 13.1 juta pada tahun sebelumnya.
- Bernama