Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

DUN Selangor menerima usul untuk menerima cadangan bahawa ADUN Bukit Antarabangsa, Azmin Ali masih kekal dalam lembaga pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Cadangan itu terkandung dalam laporan Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) yang diterima sebagai Kertas Mesyuarat Bilangan 20 tahun 2014 pada sidang DUN hari ini.

Usul untuk menerima laporan itu dibuat ADUN Sekinchan, Ng Suee Lim bawah Peraturan Tetap 76(5).

Bagaimanapun cadangan itu akan dipertimbang Exco Selangor yang akan memberi maklum balas rasmi mengenainya kepada Dewan kelak.

"Jawatankuasa berpandangan beliau masih lagi ahli perbadanan PKNS," kata Ng sewaktu membentangkan usul itu.

Ditemui pemberita kemudiannya, Ng berkata sesi pendengaran Selcat sebelum ini mendapati pelantikan Azmin sebagai anggota pengarah dilakukan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang sah sehingga tahun 2014.

"Dalam surat (Exco) memang ada ditulis beliau dilantik sehingga 2014.

"Walaupun ada salah faham tetapi dalam dokumen yang kita lihat beliau memang masih ahli lembaga pengarah," katanya kepada pemberita.

'Pemecatan tak teratur'

Azmin pada Mac lalu memberi keterangan kepada Selcat yang diketuai Speaker DUN, Hannah Yeoh pada 25 dan 26 Mac lalu berhubung dakwaan bahawa beliau dipecat dari PKNS.

Turut memberi keterangan pada masa itu ialah Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Pengurus besar PKNS Othman Omar pada Disember tahun lalu mendakwa pemecatan itu dibuat atas arahan Exco, namun dinafikan oleh Khalid dan anggota pentadbirannya.

Susulan itu, Othman dan seorang lagi pegawai di PKNS turut dipindahkan dari agensi kerajaan negeri itu.

PKNS pada Februari turut menamatkan khidmat 22 pekerjanya yang bertugas secara kontrak dengan notis selama 24 jam.

Mengulas mengenai penamatkan khidmat tersebut, Ng berkata Selcat mendapati mereka memang dilantik secara kontrak namun pemecatan itu dibuat secara tidak teratur.

"Mereka memang dilantik secara kontrak tetapi cara itu (pemecatan) tidak begitu teratur..

"Kita cadang lain kali dibuat dengan lebih teratur dan tidak perlu tergesa-gesa," katanya kepada pemberita.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS