Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

dikemaskini Mahkamah tentera hari ini diberitahu, Mejar Zaidi Ahmad ditukarkan ke satu jawatan yang tiada dalam rekod pengkalan selepas pegawai itu membuat laporan polis berkenaan dakwat kekal pada 1 Mei 2013.

Saksi ketiga pendakwaan, Kapten Norashikin Mohd Azmi yang bertugas sebagai pegawai perkhidmatan anggota di Pengkalan Udara Butterworth berkata, jawatan yang dimaksudkan itu adalah penolong pegawai eksekutif pengkalan.

"Perjawatan penolong pegawai eksekutif pengkalan – sebenarnya perjawatan ini tiada dalam rekod jawatan pengkalan," katanya sewaktu menjawab soalan peguam bela, Hanipa Maidin.

Hanipa sebelum itu meminta beliau membandingkan jawatan baru itu dengan jawatan lama Zaidi sebagai Pegawai Memerintah No 12 Skuadron.

Norashikin sebelum itu memberitahu mahkamah yang beliau bertugas "menyelenggara, mengemaskini serta menyimpan dokumen semua pegawai dan anggota lain-lain pangkat".

Mahkamah turut dimaklumkan bahawa Zaidi telah ditukarkan jawatan sebanyak tiga kali selepas 1 Mei 2013 – dua kali secara sementara dan sekali secara tetap.

Berkuatkuasa pada 3 Mei 2013, Zaidi ditukar kepada jawatan Pegawai Staf 2 Penyelidikan Markas Tentera Udara Bahagian Sumber Manusia secara sementara.

Berkuatkuasa 13 Jun 2013 pula, Zaidi ditukar pula menjadi Pembantu Pegawai Eksekutif - jawatan yang tiada dalam rekod pengkalan dan juga satu pertukaran sementara.

Akhir sekali, bermula 1 Julai 2013, Zaidi secara kekal ditukar daripada jawatan Pegawai Memerintah No 12 Skuadron kepada jawatan Jurusensor Flait Bravo No 18 Skuadron selaku Penolong Pegawai Laksana Pengkalan Udara.

Dalam soal balas yang sama, Norashikin turut mengakui bahawa jawatan penolong pegawai eksekutif pengkalan adalah lebih rendah berbanding jawatan pegawai memerintah.

Bagaimanapun cadangan itu dibantah pendakwa, Mejar Ross Anuar Aripin kerana ia bukan satu fakta berdasarkan dokumen-dokumen dalam simpanan Norashikin.

Ketika disoal balas oleh Anuar selepas itu, Norashikin berkata kenyataannya itu adalah pendapat beliau semata-mata.

Anuar: Daripada mana tahu (jawatan penolong pegawai eksekutif) lebih rendah (berbanding pegawai memerintah)?

Norashikin: Jawapan saya berdasarkan pendapat saya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS