Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'BN tak belajar dari lakonan Ibrahim Pendek'
Diterbitkan:  Jun 11, 2014 4:00 PM
Dikemaskini: 10:10 AM

Pemuda PAS hari ini menempelak langkah kerajaan mengumumkan bantuan RM500 kepada penoreh getah susulan kejatuhan harga getah yang melanda negara.

Menurut dewan itu, langkah populis dan klise itu tidak akan menyelesaikan masalah itu secara tuntas untuk jangka masa panjang demi meningkatkan perbelanjaan mereka.

“Ini tidak ubah sama sekali sepertimana 'gula-gula' BR1M yang diberikan kerajaan Umno (dan) BN dalam PRU yang lalu.

“Yang kita mahukan ialah suatu dasar dan langkah afrimatif yang mampu memberikan kesan jangka panjang,” kata ketuanya Suhaizan Kaiat.

Kerajaan hari ini mengumumkan bantuan RM500 kepada penoreh getah, sama seperti yang diterima pekebun kecil komoditi bagi membantu mereka susulan kejatuhan harga getah pasaran.

Menteri Perusahaan, Peladangan dan Komoditi Datuk Seri Douglas Uggah Embas berkata, kerajaan juga sedang mempertimbang mekanisme menentukan harga getah pasaran.

Beliau juga akan mencadangkan supaya kerajaan membenarkan Lembaga Getah Malaysia (LGM) menentukan harga getah ladang bagi mengelakkan eksploitasi harga oleh orang tengah.

Desakan demo Baling

Dalam kenyataannya hari ini, Suhaizan berkata, langkah itu hanya memperbodohkan dan mempermainkan para penoreh getah.

“Kamu harus belajar dari (pelakon pupular) Ibrahim Pendek dalam filem Ali Baba Bujang Lapok dengan 40 Penyamun .

“Buah dadu tak boleh dibuka lebih dari sekali pusingan. Kamu tipu rakyat sekali lagi dengan RM500, rakyat akan semakin membenci kamu!” katanya.

Dalam filem arahan dan lakoran Tan Sri P Ramlee itu, terdapat babak popular menunjukkan Ibrahim (yang melakonkan watak Sarjan) menipu wang orang ramai menggunakan dadu.

Bagi mengelakkan perkara itu terbongkar dan disedari orang ramai, Sarjan hanya akan membuka perjudiannya itu sebanyak tiga kali sahaja.

Sementara itu, Suhaizan berkata, langkah terbaru kerajaan itu melambangkan keterdesakan BN selepas himpunan besar-besaran di Baling yang menyatakan kemarahan penoreh ekoran menjunamnya harga getah skrap sehingga RM1.90/kg.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS