Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kerajaan mengumumkan bantuan RM500 akan disalurkan kepada golongan penoreh getah, sama seperti yang diterima oleh pekebun kecil komoditi itu di seluruh negara.

Menteri Perusahaan Peladangan dan Komoditi Datuk Seri Douglas Uggah Embas berkata, "langkah segera" itu melibatkan peruntukan skim sebanyak RM130 juta bagi membantu pekebun dan penoreh susulan kejatuhan harga getah di pasaran.

"Perkara itu telah dibincangkan di kabinet bahawa (terdapat) arahan bantuan diberikan kepada penoreh getah. Bantuan yang sama (seperti pekebun kecil)," katanya ketika menjawab satu soalan di Dewan Rakyat.

Douglas (BN-Bentong) berkata, kerajaan juga sedang mempertimbangkan mekanisme untuk menentukan harga getah di pasaran.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Othman Abdul (BN-Pendang) yang bertanya sama ada bantuan RM500 secara 'one-off' daripada jumlah skim tersebut itu hanya dikhususkan kepada pekebun kecil sahaja.

Mengulas mengenai usaha meningkatkan rantaian pemasaran komoditi itu, Douglas berkata kerajaan sedang mendapat kebenaran kabinet untuk merealisasikan usaha itu dengan Thailand dan Indonesia.

Bagaimanapun, ketika ini, kementeriannya berdepan masalah mendapat persetujuan dua negara itu, pihak susulan situasi politik di Thailand yang tidak stabil dan Indonesia yang kini dalam suasana pilihan raya presiden.

"Tidak ada pihak yang boleh membuat keputusan kerana ia melibatkan perjanjian ketiga-tiga negara. Masalah itu akan diselesaikan secepat mungkin," katanya.

Menurut Douglas, pihaknya juga mencadangkan kepada kerajaan membenarkan Lembaga Getah Malaysia (LGM) menentukan harga getah dari ladang bagi mengelakkan eksploitasi harga getah oleh "orang tengah".

"Iaitu dengan cara membantu koperasi membeli getah dan menjual terus kepada kilang. Ini untuk mengelak eksploitasi dan mengelak orang tengah," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS