Pro-Melayu ISMA mengalu-alukan operasi Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas satu majlis perkahwinan mengikut adat Hindu pada Ahad lalu, yang disifatkan sebagai "langkah pencegahan" untuk mengelak "kemungkaran".
Pengerusi majlis ulama NGO tersebut, Aznan Hasan berkata, tindakan itu juga menepati syarak kerana JAIS bertanggungjawab bertindak demikian ke atas majlis perkahwinan tersebut, dan juga pengantin peremuan, Zarina Abdullah Majid.
“Tindakan itu adalah satu siasatan bukannya serbuan seperti yang didakwa. Tindakan tersebut menepati panduan syarak dalam urusan perkahwinan.
“Bahkan ianya adalah menjadi tanggungjawab pihak berwajib terutama institusi agama supaya tidak berlaku perkara yang bertentangan dengan syarak iaitu perkahwinan seorang wanita Islam dengan pasangan bukan Islam,” katanya seperti disiarkan dalam laman web NGO tersebut.
Menurut Aznan lagi, operasi JAIS itu bagi memastikan sama ada Zarina benar-benar seorang Islam atau hanya menggunakan nama Islam.
“Maka dalam kes ini, tindakan JAIS itu adalah sebagai satu langkah saddu al-zarai’ (menghalang daripada berlaku satu kemungkaran),” katanya lagi.